Pop Shuvit laku di Jepun


DARI kiri, Rudy, AJ, JD, Uno dan Moots (depan). Pop Shuvit bakal muncul di MTV World Stage Live In Malaysia di i-City hari ini.


SEBELAS tahun mudik bersama, ahli kumpulan Pop Shuvit tidak pernah berkelahi. Biarpun pernah berbeza kata, mereka yang terdiri daripada gabungan anak Malaysia itu tidak pernah mengambil hati terhadap satu sama lain. Keserasian itu berterusan digunakan untuk mengadun resipi buah tangan keenam mereka yang berjudul Cherry Blossom Love Affair. Menggunakan acuan sama seperti album terdahulu, album yang memuatkan 12 buah lagu itu digarap rapi oleh Moots, JD, Rudy, AJ dan Uno.

"Setelah 11 tahun ditubuhkan, Pop Shuvit tidak pernah bertukar ahli dan saling menghormati satu sama lain. Itu antara kekuatan kami," kata AJ mewakili rakan-rakannya. Bakal dilancarkan secara rasmi pada September nanti, album yang sudah berada di pasaran itu mempertaruhkan enam buah lagu Melayu dan enam buah lagu Inggeris. Keseimbangan rasa Melayu dan Inggeris itu menjadi strategi buat Pop Shuvit untuk diterima ramai bukan sahaja dalam negara bahkan untuk dieksport ke luar. Mereka diterima hebat di negara matahari terbit. Buktinya, album Take It & Shuvit (2003), Shuvit Remixes (2004) dan Amped & Dangerous (2006) yang dipasarkan khas untuk negara Jepun diterima oleh peminat muzik di sana.

Menerusi album terbaharu itu, Pop Shuvit bukan sahaja istimewa dengan lagu-lagu seperti Nebula 11, kolaborasi bersama Man Bai menerusi Seperti Syurgamu dan Getting Away With Murder dinyanyikan bersama Dina Nazir, tetapi istimewa dengan susunan terbaharu lagu Marabahaya. Kata mereka, naskhah yang menjadi tema kepada filem tempatan Impak Maksima itu disusun semula dalam versi projek revolusi Asia Timur (EAR) yang menampilkan band-band terkemuka dari Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina. "Lagu ini mengandungi gabungan pelbagai bahasa daripada rumpun Asia Tenggara. Perjuangan dalam muzik menggabungkan kami semua.

"Kami bertuah kerana berpeluang merakamkan lagu ini dalam gabungan pelbagai bahasa bersama Slap Shot daripada Filipina, Thaitanium dan Dandee (Thailand), St. Loco (Indonesia) dan Ahli Fiqir (Singapura)," kata mereka yang masih mengekalkan tema Hip Hop Rock dalam album itu. Versi projek EAR itu menampilkan lagu Marabahaya dalam gabungan bahasa Melayu, Inggeris, Thailand, dan Tagalog. Biarpun sibuk mempromosikan single berjudul Nebula 11 dan Seperti Syurgamu di samping jualan album, Pop Shuvit turut berdebar-debar menantikan malam ini. Peluang diberikan untuk mengadakan persembahan sebaris artis terbaik Asia lain seperti Thirty Seconds To Mars, Neon Trees dan BEAST dalam MTV World Stage Live In Malaysia 2011 di i-City, Shah Alam itu akan direbut mereka sebaik mungkin.

"Kami akan mempersembahkan lima buah lagu pada malam itu (malam ini) termasuklah lagu yang diterima di negara-negara Asia iaitu Marabahaya serta single terbaharu Seperti Syurgamu. "Peluang keemasan ini, akan menjadi batu loncatan kepada kami kerana ia akan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia," kata JD selaku gitaris kumpulan itu. Pop Shuvit menjanjikan sesuatu kepada peminatnya pada malam ini. Kata mereka, pentas, pakaian dan persembahan yang akan diberikan adalah yang terbaik yang pernah dipersembahkan.