Malaysia mara ke separuh akhir


LIBASAN maut daripada pemain negara, Norshahruddin Mad Ghani ketika aksi menentang Filipina pada peringkat suku akhir semalam. Malaysia menang 3-0.


MALAYSIA mudah mara ke peringkat separuh akhir kategori lelaki setelah mengecewakan Filipina 3-0 pada perlawanan suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2011 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam. Pada set pertama trio negara yang dibarisi Norshahruddin Mad Ghani, Noor Azam Abdul Hamid dan Farhan Adam melakukan sedikit kesilapan pada awal perlawa- nan, namun berjaya memperoleh kemenangan 15-11.

Kemenangan set pertama memberi semangat kepada skuad bimbingan Jamaluddin Hassan itu untuk memenangi set kedua 15-4 dalam masa lapan minit. Malaysia melakukan perubahan pada posisi tekong di set ketiga dengan menggantikan Noor Azman dengan Muhammad Syaz- wan Husin dan Mohd. Helmi Ismail di tempat Norshahruddin Mad Ghani sebagai apit kanan. Perubahan tersebut tidak menjejaskan rentak permainan mereka, malah dilihat semakin mantap untuk menang saingan set ketiga itu dengan 15-3 dalam masa tujuh minit.

Trio Filipina dibarisi Oliver Tumang, John John Bobier dan Jason Huerte Jason. Jurulatih Jamaluddin Hassan berkata, anak didiknya masih memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan keadaan dengan keadaan gelanggang selain mengukuhkan kekuatan mental apabila berdepan dengan bilangan penonton yang ramai. Beliau turut mengakui yang skuad negara ada melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku pada set pertama, namun berjanji untuk mengatasinya segera.

"Kita perlu berhati-hati sekira- nya bertemu Singapura pada perlawanan berikutnya (perlawanan separuh akhir) kerana pasukan tersebut kelihatan berbeza dan lebih mantap berbanding sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, daripada pemerhatiannya, skuad Singapura mempunyai kepantasan yang luar biasa walaupun mereka pernah bertemu dengan pasukan tersebut pada perlawanan peringkat kumpulan pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.