Kuasa aura Aizat




VOKALIS solo muda, Aizat Amdan tidak berbohong tentang rasa cuaknya tatkala konsertnya bakal dilangsungkan di Kuching dan Kota Kinabalu.

Lokasi yang jauh daripada pandangan rakan-rakan serta para peminat Kuala Lumpur yang sentiasa menjadi pendorong di belakangnya.

Dia jujur tentang rasa takut kalau-kalau konsertnya kelak tidak dikunjung orang. Ruang yang besar jadi sepi atau tiada mata yang mahu melihat waima telinga yang mendengar alunan lagu-lagunya.

Namun itu satu rasa yang wajib hadir bagi penakluk pentas. Sama ada kecil atau besar skalanya, rasa itu akan mencuit.

Bagaimanapun ketika kaki melangkah masuk ke dalam Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching, Sarawak, debaran lain yang hadir.

Rasa bangga terbit tatkala melihat rata-rata anak muda dalam jumlah 3,000 orang hadir mahu menonton Konsert Borneo pelantun lagu Susun Silang Kata itu.

Maksud jelas dengan visual yang terang bahawa penyanyi muda seusia Aizat mampu menarik minat dan antusias golongan muda dan belia untuk menghadiri dan membeli tiket konsert.

Bukan hanya 'terjual' di konsert-konsert percuma. Buat Aizat itu sebuah tanda penghargaan. Usaha para peminat ini datang dan membeli tiket adalah satu perasaan yang tidak mampu dijual beli. "Magic!", ujar Aizat ketawa, namun bersyukur dengan kepercayaan tersebut.

Jika Aizat mahu menyediakan sebuah persembahan yang meraikan muzik di laman Sarawak, dia mendapat timbal balik yang lebih berharga apabila persembahannya itu meraih perasaan cinta daripada penonton di Sarawak, khususnya merujuk kepada sambutan hangat daripada mereka.


AIZAT mengimpikan konsert di sebelah utara, selatan dan timur Malaysia pula.


"Saya dapat rasakan cinta. Semua yang saya dan grup serta pasukan saya buat adalah untuk para peminat saya.

"Saya mahu bergembira dengan mereka dan harap mereka seronok dengan kemunculan konsert ini. Itu sahaja yang mahu dicapai untuk konsert ini," ujar Aizat yang dapat meresap ideologi cinta dan kasih sayang yang ditebarkan oleh para peminatnya di Sarawak.

Penonton terhibur

Kembali ke suasana dalam Stadium Perpaduan, kemeriahannya terserlah.

Memulakan intro konsert dengan sebuah grup daripada Sarawak iaitu Masterpiece, sejurus sebelum kemunculan Amin Jahari yang memperkenalkan lagu-lagunya.

Masih sangat baru namun vokal yang menarik dan lagu yang catchy membuat penonton terhibur dengan bekalan Amin.

Dia mempersembahkan single perdananya Tanpamu dan turut menyampaikan lagu saduran Fly me To The Moon dengan gaya sendiri yang meyakinkan.

Masa yang ditunggu-tunggu lantas tiba apabila Aizat muncul dengan gitar comelnya yang berwarna pelangi itu. Semeriah warna gitarnya itu jua jiwa penonton yang mahu melihat persembahan dan dihiburkan dengan lagu satu persatu.

Vokalnya tenang dan terang, wajahnya cukup jelas mempamerkan kepuasan melihat penonton malam Sabtu lalu. Dia mahu berhibur sepuasnya bersama penonton yang cukup malah menyanyikan lagu Aizat satu persatu.

Sesekali Aizat berbahasa Sarawak, menunjukkan jiwanya dekat dengan khalayak di depan matanya.

Ujar Aizat sewaktu sidang akhbar bersama media sebelum konsert belangsung, dia memang mahu mempelajari bahasa Sarawak agar komunikasinya jelas dan berlangsung dua hala.


ANAS (kanan), selain hubungan biologi abang kepada Aizat, dia juga merupakan pengarah muzik konsert ini.


Aizat melemparkan lagu-lagu nukilannya yang juga merupakan senjata yang menaikkan nama seorang komposer muda yang sentiasa tampak gigih memperjuangkan semangat seninya.

Bersatu dengan grupnya yang dianggotai Anas (gitar dan merangkap pengarah muzik), Pito (bass), Tarmizi (gitar utama), Ruvi (dram) dan Vinka (keyboard), Aizat lantas melontarkan lagu-lagu seperti Susun Silang Kata, Sungai Lui, Kau Aku, Hanya Kau Yang Mampu, Pergi dan Emotion.

Turut menyampaikan lagu yang dianggapnya seksi, Aizat mengalunkan lagu Sentuhan Listrikmu dengan gaya nyanyiannya yang tersendiri itu.

Menarik dan segar serta sebuah tanda hormat Aizat buat nukilan Datuk M. Nasir yang dianggapnya punya sentuhan listrik yang tersendiri.

Altimet turut menjadi penyanyi jemputan pada konsert tersebut dengan menyampaikan lagu Kotarayaku, Chantek dan Syukur bersama kolaborasi DJ Fuzz.

Hampir 20 buah lagu yang diperdengarkan kepada peminat sesuai dengan dua kemunculan album Aizat. Untuk skala di sebuah stadium, tembakan pencahayaan dan sistem bunyi dikira pada tahap yang memuaskan.

Kematangan Aizat juga terpamer bukan hanya komunikasi bersama penonton tetapi juga penguasaan pentasnya dengan mood untuk bergembira bersama penyokong-penyokong seninya.

Kagum dengan sambutan ramai

"Saya langsung tidak sangka sambutannya sebegini. Memang ada kesukaran di sana sini sebelum konsert dan yang paling saya risaukan adalah kehadiran penonton.

"Tapi apabila saya lihat jumlah yang hadir dan mereka menyanyi bersama, saya jadi tidak terkata," ujar Aizat yang membuat persediaan bersama pasukan Kasi Gegar Entertainment sejak Mac lagi.

Berharap suasana sebegini dapat memberikan semangat buat teman-teman artis lain untuk muncul dengan konsert sendiri, Aizat juga punya perancangan sendiri untuk langkah seterusnya.


MERAIKAN muzik buat peminatnya di Sarawak, Aizat meraih cinta daripada mereka.


"Hajatnya memang nak buat konsert di seluruh Semenanjung . Aizat sasarkan untuk mengadakan konsert di bahagian utara, selatan dan timur Malaysia. Cari lokasi di sana dan teruskan apa impian Aizat.

"Kalau duduk sambil tunggu peluang memang susah. Jadi kena usaha untuk terus cari peluang jumpa peminat di seluruh Malaysia."

Ini cara Aizat untuk membalas budi dan penghargaan mereka," ujarnya yang turut berterima kasih kepada salah seorang peminat di Sarawak iaitu E'e yang membantu promosi konsert dengan sukarela.

Penulis hanya sempat menonton persembahan di Sarawak namun perkhabaran dari Sabah tidak kurang beza dengan suasana di Stadium Perpaduan.

Konsert Borneo Tour-Urusan Aizat Amdan yang berlangsung di Dewan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) Penampang, Kota Kinabalu, Sabah, Jumaat lalu dikatakan dapat memukau kira-kira 2,800 orang peminat.

Konsert pada malam tersebut dimulakan dengan persembahan pembukaan dari penyanyi tempatan, Jimmy Palikat serta dihoskan oleh pengacara, Farish Aziz yang kini menjadi penyampai radio untuk Suria FM di Sabah.

Untuk Aizat dan anak seni muda dengan darah yang mendidih untuk berkarya, ini sebuah bukti positif.

Jelas usaha gigih dan sifat tidak bergantung kepada pihak luar berbayar dengan kesetiaan serta kemahuan peminat untuk mengeluarkan wang ringgit dan bergembira. Permulaan yang sihat untuk sebuah usaha yang jujur.