Terjemahan imej dasar laut




KETIKA membuat tinjauan di sekitar Pameran Penyelam Antarabangsa Malaysia (MIDE) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, suasana di PWTC yang padat dengan pengunjung jelas menunjukkan bahawa hobi atau keghairahan terhadap aktiviti menyelam semakin mendapat sambutan rakyat Malaysia.

Menyelam bagi kebanyakan orang merupakan satu hobi yang penuh keterujaan. Bahkan, hampir semua orang yang ditemuramah percaya menyelam mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia seolah-olah membawa seseorang itu ke satu dunia yang lain.

“Kita mungkin sudah biasa berada di atas darat dan berada di ruang angkasa tetapi, berapa ramai yang dapat membiasakan diri di dasar laut?” tanya seorang pengunjung, Danial Iskandar, 30, dari ibu kota.

Beliau bukan sahaja datang ke pameran itu untuk berjinak-jinak dengan bidang selaman memandangkan Danial sudahpun mempunyai pengalaman menyelam di lebih 120 tapak selam di Malaysia dan di sekitar Asia Tenggara.


DANIAL bersama beberapa karyanya yang dihasilkan melalui pengalaman beliau di dasar laut.


“Saya menyelam sekurang-kurangnya 20 kali di tiga atau empat buah lokasi dalam masa setahun. Tetapi menyelam sahaja tidak berbaloi jika ia tidak direkod,“ kata Danial. Beliau bukan sekadar menyelam dan mengambil gambar bahkan menariknya, Danial turut melukis imej di dasar laut itu.

Danial mempunyai kira-kira 32 buah lukisan dasar laut hasil tangan sendiri yang dilukis sejak dua tahun lalu. Katanya minat melukis imej dasar laut wujud selepas beliau merasakan gambar foto dasar laut bukan paling sempurna.

“Saya dapati, gambar foto yang dirakam di dasar laut boleh diubah suai. Ia menjadikan imej itu tidak semula jadi. Ia telah mengecewakan saya sekali gus mengerakkan saya untuk berkecimpung dalam bidang seni lukis,” katanya yang sememangnya sudah ada kemahiran melukis sejak kecil. Kini selain lukisan dasar laut, Danial mempunyai 37 lukisan lain.

Danial belajar menyelam hanya dua tahun lalu dan selepas mendapat lesen, beliau terus menyelam sebagai hobi. Namun, selepas melawati kira-kira 50 tapak selaman, Danial merasakan selaman itu sia-sia jika ia tidak dirakam.


LELAKI berusia 30 tahun ini, mendapat lebih kepuasan dengan aktiviti menyelam apabila momen menyelam itu dirakamkan menerusi kamera dan dilukiskan di atas kanvas.


“Saya sudah puas menyelam di sekitar Malaysia. Antara lokasi kegemaran saya ialah Pulau Perhentian Besar dan Kecil di Terengganu, Pulau Tioman di Johor dan Pulau Sipadan di Sabah,” katanya yang sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah dalam bidang hartanah, di samping menguruskan perniagaan sendiri.

Danial sudah menjual tujuh daripada lukisan dasar laut dengan harga paling tinggi sekitar RM12,000.

Dalam karyanya Danial bukan sahaja memaparkan lukisan secara terus tetapi, adakalanya dia turut mempamerkan reka bentuk dan corak gerakan air. Bagaimanapun, Danial akan mengambil gambar foto sebelum diterjemah dalam bentuk lukisan.

Kini, di samping mengumpulkan rakan daripada pelbagai latar belakang, Danial juga turut menyelam bersama anak perempuan beliau, Danisyah Irdina yang baru berusia 11 tahun, manakala anak lelaki berusia enam tahun, Muhammad Damien pula sedang belajar menyelam.

“Saya selalu menyelam bersama rakan baik saya, Mejar Muhammad Anuar Harun dan anak perempuan saya. Isteri saya pula pernah sampai ke tahap menyertai latihan tetapi, kerana kecederaan kecil, dia terus trauma dan enggan menyertai latihan seterusnya,” katanya.

Danial memberitahu, trauma air juga boleh diatasi dan ia bergantung kepada semangat seseorang. Jika kebanyakan orang trauma air menyebabkan mereka tidak mencuba menyelam, ia sebenarnya boleh diatasi sebaik anda menyelam.


KIRI: Melukis sekadar mengisi masa lapang kerana Danial juga masih bergelar pelajar.


“Pemandangan dasar laut yang cantik dapat mengubah trauma anda,” ujarnya yang bagaimanapun mengakui tidak berjaya memujuk isterinya berbuat demikian.

Di sebalik semua pengalaman manis di dasar laut, Danial turut berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Semasa khusyuk menyelam mengejar ikan jerung di poin jerung Pulau Sipadan, Danial hampir lemas apabila tanpa disedari oksigen beliau hanya tinggal 30 bar sahaja.

Lazimnya, seseorang penyelam akan menyelam sehingga oksigen tinggal 50 bar supaya dia mempunyai bekalan yang mencukupi semasa naik. Pada waktu itu, Danial cuba tidak panik kerana dia tahu, panik dan tindakan menyelam naik dengan cepat boleh memberi tekanan pada peparu sehingga membahayakan nyawa. “Mujur ketika itu ada buddy iaitu teman menyelam, selepas memberitahu situasi saya, dia membantu membekalkan dengan oksigen kecemasan. Itu sebabnya anda perlu memastikan menyelam bersama seseorang dan bukan bersendirian.”