Mangsa ragut harap peragut ditangkap

02/08/2011 7:09pm

KUALA TERENGGANU - “Jika boleh saya ingin berjumpa dengan peragut dan biar dia menerima hukuman yang setimpal atau lebih teruk daripada keadaan yang menimpa adik,” demikian luahan mangsa ragut Maleha Malik yang cedera parah dalam kejadian ragut di Jalan Kamaruddin, di sini Ahad lepas.

Maleha, 24, ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini, masih di dalam keadaan lemah dan amat sedih kerana adiknya Maizatul Akmal, 22, masih koma.

"Sekarang saya masih rasa sakit lagi di bahagian tangan dan perut,tapi saya rasa lebih tertekan kerana adik masih belum sedarkan diri,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad lalu, dua beradik itu cedera parah apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan semasa mereka mengejar peragut yang melarikan beg tangan mereka.

Kejadian itu berlaku apabila kedua-dua beradik itu yang bermotosikal dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka menuju ke Kompleks Sri Iman dekat sini untuk mengambil Wang Dana Bakti Remaja yang diberikan oleh kerajaan negeri. - Bernama