Sebab pilih anak Malaysia


COLLINS berpendapat Malaysia amat berpotensi memajukan bidang pelancongan angkasa lepas.


TINDAKAN Collins memilih anak tempatan Malaysia untuk mengolah komik ciptaannya ke medium filem pasti mengundang ragu kepada sesetengah pihak.

Namun, bagi Collins, keputusan tersebut bukan hanya atas dasar kecanggihan teknologi malah potensi Malaysia dalam bidang sains angkasa turut dipertimbangkan.

"Malaysia merupakan negara yang amat serius dalam pelancongan malah mempunyai kementerian dalam mengurus dan menggalakkan industri itu.

"Ia jelas dilihat dengan kehadiran begitu ramai pelancong dari luar terutamanya rantau Arab. Mereka boleh dilihat di mana-mana sahaja dan orang ramai tahu rakyat dari sana mempunyai banyak duit," seloroh Collins ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, Malaysia mempunyai sebuah syarikat minyak, Petronas yang sudah membangun sepenuhnya dalam bidang minyak dan gas berbanding Jepun.

"Di Jepun, tiada sebuah syarikat minyak yang serius dalam pembangunan industri sumber tenaga itu," ulas Collins.

Kedudukan geografi Malaysia juga memainkan peranan dalam pembangunan industri pelancongan angkasa lepas.

Terang Collins, Semenanjung Malaysia berada di garisan Khatulistiwa dan sangat dekat dengan ruang angkasa lepas.

Jarak itu boleh mempengaruhi kos penerbangan. Sebagai contoh, kapal angkasa yang dilancarkan dari benua Eropah menampung perbelanjaan yang mahal.

"Ia menelan kos sehingga 300,000 pound (RM1.4 juta) tetapi jika pelancaran itu dilakukan di negara ini, kos berlepas yang dianggarkan hanyalah kira-kira RM15,000," jelas Collins.

Walaupun nilai harga untuk pelancongan angkasa itu kedengaran agak mustahil, namun profesor itu sudahpun mencongak kemungkinannya.

Begitupun, pembinaan prasarana mega yang menyokong idea tersebut belum tentu dapat direalisasikan dalam jangka masa terdekat di negara ini.

Sehubungan dengan perkara tersebut, perkembangan ilmu terutamanya ilmu angkasa semakin berkembang di Malaysia melalui penubuhan banyak universiti yang menyediakan kursus sains angkasa.

"Ia menunjukkan betapa Malaysia serius dalam bidang ini," ulas Collins namun menjelaskan bahawa bidang pelancongan angkasa lepas bukan industri yang memberi keuntungan cepat.

"Hasil yang dapat terlalu kecil tetapi dalam industri ini, ia memerlukan keberanian untuk membuat keputusan dan percaya kepada potensinya," terangnya.