Misi buang badi


KIEN KEAT (kiri) dan Boon Heong memburu gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Dunia 2011 di London bermula Isnin depan.


ADA misi penting yang mahu dilunaskan beregu emas negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong pada Kejohanan Badminton Dunia 2011 yang akan membuka tirainya di Arena Tertutup Wembley, London, Isnin depan.

Dalam misi bergelar juara, mereka harus segera membuang badi kekalahan di tangan pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun/Yoo Yeon Seong.

Ini kerana dalam rekod empat pertemuan terdahulu, Kien Keat/Boon Heong masih gagal untuk menyaingi kehebatan lawan mereka itu.

Bagaimanapun, mereka berpeluang untuk membuang badi kekalahan tersebut apabila diramal bertemu dengan Sung Hyun/Yeon Seong pada peringkat suku akhir Kejohanan Dunia tahun ini.

“Jika melepasi halangan daripada Sung Hyun/Yeon Seong, Kien Keat/Boon Heong berpeluang cerah untuk mara sehingga ke final,” kata ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky.