Raya macam kahwin




FOUZIAH Gous pasti, ini bukan soal sifat keliberalan mutlak individu. Ini adalah soal hidup dan masa depannya. Dia tidak harus mengikut kata kedua-dua ibu bapanya untuk berkahwin dengan lelaki pilihan mereka semata-mata untuk membalas budi. Dia ada matlamat hidup yang ingin dicapainya. Tetapi, siapalah dia yang mampu menolak semuanya.

Berbekalkan keseluruhan emosi, Fouziah tampil dengan drama lakonan terbaharunya iaitu Tahajjud Cinta. Mengakui watak yang dibawa sangat mencabar, pemilik nama Nor Fouziah Mohd. Gous, 29, itu juga mengaku agak tertekan untuk membawakan watak Seri.

"Terdapat 20 artis popular menjayakan drama ini. Tetapi watak saya yang paling banyak bermain dengan emosi.

"Paling mencabar apabila saya terpaksa berlakon berpurdah dan hanya perlu bermain dengan emosi mata," katanya ketika ditemui selepas sidang media memperkenalkan barisan pelakon-pelakon drama Tahajjud Cinta, di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bahkan, pelakon berdarah campuran Pakistan, Melayu dan Cina itu juga kena menghafal bahasa Arab bagi menjayakan babak ketika di Jordan.

"Agak tertekan apabila kita perlu berpurdah dan menunjukkan emosi hanya melalui mata dan gaya badan. Selain itu, saya juga kena menghafal bahasa Arab on the spot. Nasib baik ada ustaz yang memberi tunjuk ajar ketika di set penggambaran," katanya yang membawa watak utama bernama Seri bersama dengan Nur Fazura sebagai Citra.

Bercerita mengenai watak Seri dalam drama Tahajjud Cinta, dia merupakan seorang anak miskin yang ingin mengejar cita-citanya sebagai peguam syariah dan dalam masa yang sama memperjuangkan hak wanita yang ditindas.

Semasa belajar di Jordan dia bertemu dan jatuh cinta dengan Solohudin, lakonan Remy Ishak.

Namun, cita-citanya dan cintanya tidak kesampaian apabila bapanya, lakonan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar meminta Seri berkahwin dengan lelaki pilihannya atas dasar membalas budi lelaki itu.

Pelakon kegemaran Erma Fatima

Menganggap Eman Manan sebagai idola, Fouziah sememangnya mengimpikan untuk bergandingan dengan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-5 (FFM5), FFM7, FFM10, FFM11, FFM17 dan FFM21 itu.

Namun, saat impiannya itu dikabulkan, Fouziah dikhabarkan sangat tercabar dengan lelaki berasal daripada Kuala Terengganu itu. Kenapa?

"Eman adalah idola saya. Saya sangat teruja dapat berlakon di sampingnya tetapi dalam masa yang sama takut jika tidak dapat memberikan aksi yang terbaik.


DRAMA Tahajjud Cinta menampilkan ramai pelakon-pelakon hebat tanah air.


"Dalam Tahajjud Cinta memang banyak babak saya bersama dia dan dia seorang pelakon yang sangat bagus. Saya akui rasa tercabar berlakon di sampingnya. Sebabnya, saya perlu menjadi bagus seperti dirinya.

"Setiap kali babak kami, saya perlu berfikir kreatif dan tertanya-tanya bagaimana untuk menghasilkan gaya dan mutu lakonan yang bagus dan mantap," katanya yang menganggap Eman seorang pelakon yang sangat profesional.

Dalam Tahajjud Cinta karakter lakonan Eman melakonkan karakter lelaki beristeri empat tetapi menaruh hati terhadap Seri lakonan Fouziah itu.

Setiap babak yang membabitkan Eman bersamanya kata Fouziah, dilakonkannya dengan bersungguh-sungguh. Secara tidak langsung, ia menyebabkan Fouziah tercabar untuk memberikan aksi yang sama baik dengan Eman.

Baru sahaja selesai penggambaran Tahajjud Cinta pada 18 Julai lalu, diri wanita berzodiak Sagittarius ini disunting lagi oleh pengarah Erma Fatima untuk menjayakan telefilem terbaharu, Cinta Dari Kaabah.

Masih mengekalkan konsep kerohanian seperti drama Tahajjud Cinta, Fouziah dipilih sekali lagi untuk membawakan watak utama dalam drama yang bakal menjalani sebahagian penggambarannya di Mekah.

Dijolok soalan sebagai pelakon kegemaran Erma, kata Fouziah tawaran untuk berlakon di bawah arahan Erma sudah menjadi rezeki buat dirinya. Fouziah juga mengaku suka dengan cara Erma bekerja.

"Alhamdulillah saya sekali lagi dipilih Erma. Saya sangat sukakan cara Erma bekerja. Dia go for reality. Bekerja dengan Erma senang cuma kena tahu apa yang dia mahukan," katanya yang tidak menganggap Erma seorang yang serius tetapi berwajah serius.

Selain Fouziah, Fazura dan Emanm Tahajjud Cinta membariskan ramai pelakon hebat termasuk Remy Ishak, Shahz Jaszle, Fazreen, Tiz Zakiah, Aaron Aziz, Datuk Jins Shamsuddin, Norish Karman, Neelofa, Ahmad Tarmimi Siregar, Dira Abu Zahar, Ziela Jalil, Azizah Mahzan, Melissa Saila dan Erma Fatima sendiri.

Drama berunsur kerohanian itu mula bersiaran pada 8 Julai lalu setiap hari Jumaat, pukul 9 malam di TV3.

Juadah berbuka puasa


FOUZIAH diapit Dira dan Melissa yang turut menjadi sokongan kepada tenaga lakonan Tahajjud Cinta.


Menyentuh tentang bulan Ramadan, kata Fouziah, pada tahun ini aktiviti seninya tidak begitu padat seperti Ramadan tahun-tahun lepas.

"Sepatutnya puasa tahun ini saya terlibat dengan satu projek tapi Alhamdulillah ia ditunda selepas raya. Jadi, saya dapat menyambut puasa dengan tenang tapi sedih tidak dapat mengerjakan umrah," katanya yang kebiasaannya akan mengerjakan umrah setiap kali bulan Ramadan.

Bercerita tentang persiapan puasa tahun ini, Fouziah dan keluarga akan menyambutnya bersama dengan meriah.

Malah, setiap tahun menyambut puasa, dia dan keluarga akan memastikan juadah berbuka penuh di atas meja.

"Walaupun sibuk dengan aktiviti masing-masing, saya dan adik-beradik lain akan meluangkan masa berbuka bersama-sama pada hari pertama mahupun kedua puasa.

"Untuk tahun ini, seramai 12 orang ahli keluarga berkumpul untuk berbuka bersama. Bukan sahaja menu kami nasi tetapi penuh dengan pelbagai jenis kuih-muih. Sehinggakan kakak ipar yang baharu sahaja menyambut puasa bersama tahun ini terkejut dengan menu berbuka kami," ceritanya mengenai puasanya.

Ditanya apakah contoh juadah berbuka puasa tahun ini, kata pelakon berambut panjang mengurai itu, antara menu berbuka mereka terdiri daripada empat jenis air, yong tau fu, tosai, kuih muih, lauk udang masak petai, ayam masak masala, sayur dan kambing bakar.

Tidak menolak jika mendapat jemputan berbuka bersama anak-anak yatim atau menjayakan sesi fotografi, kata Fouziah keluarganya juga akan bersama-sama berbuka puasa di luar paling kurang sekali setiap Ramadan. Fouziah juga tidak kisah jika tidak bersahur kerana dia dapat menahan lapar sehingga berbuka.

"Saya sudah biasa tidak sahur. Tapi Alhamdulillah tak rasa lapar. Sebabnya, saya sudah biasa rasa puasa dalam cuaca panas dan kering di Mekah.


FOUZIAH di samping Shahz Jazle yang merupakan antara pelakon karakter penting dalam Tahajjud Cinta.


"Tetapi, kalau saya terlibat dengan penggambaran pada bulan puasa mak akan pastikan saya bersahur. Sehinggakan dia akan hantar makanan ke dalam bilik saya," katanya yang biasanya beraya di kampung kakak ipar di Pekan, Pahang kerana tidak mempunyai kampung.

Fouziah yang berasal dari Kuala Lumpur itu juga pada mulanya bercadang beraya bersama keluarga di kampung kakak iparnya yang baharu di Bandung, tetapi malangnya kata Fouziah, ayah kepada kakak iparnya terpaksa menjalani pembedahan dan keadaan tidak mengizinkan mereka sekeluarga beraya di Bandung.

"Saya tiada kampung jadi pada hari raya kami sekeluarga akan pergi beraya di kampung kakak ipar di Pekan, Pahang. Untuk tahun ini kami bercadang beraya di rumah kakak ipar baharu di Bandung tetapi tak dapat," katanya.

Menyentuh tentang raya pula, pelakon harapan wanita popular Anugerah Skrin (ASK 2007) menganggap sambutan rayanya seperti majlis kahwin.

Hubungan erat sesama keluarga besan dan sanak saudara menjadikan sambutan raya Fouziah sekeluarga meriah. Apa yang pasti menu utama nasi beriani berlaukkan ayam masak merah pasti menjadi keutamaan mereka sekeluarga.

Fouziah turut menyatakan hasrat untuk membantu ibunya menyediakan hidangan semepena raya nanti.

Berkongsi rahsia makanan kegemarannya setiap kali bulan puasa dan raya, kata Fouziah, setiap kali puasa dirinya tidak lengkap tanpa menjamah kuih kukus manakala bagi masakan raya pula pastinya hidangan sambal menjadi pilihan.

"Setiap kali bulan puasa, Fouziah akan pastikan ada kuih-kuih kukus. Jika hidangan hari raya pula, saya suka masakan berasaskan sambal yang pedas. Sebagai contoh, masakan istimewa mak, ayam masak merah," katanya.