Polis London serbu rumah perusuh


BEBERAPA anggota polis menangkap seorang lelaki di Eltham, selatan London kelmarin dalam operasi mengekang rusuhan.


LONDON - Bandar-bandar di Britain yang terlibat dalam rusuhan sejak Sabtu lalu kini tenang selepas hampir 900 orang ditangkap.

Polis berikrar untuk menangkap para perusuh yang menyebabkan rompakan dan kebakaran berlaku dalam rusuhan itu.

Pihak polis mula menyerbu rumah-rumah untuk mencari para perusuh yang terlibat dalam rusuhan tersebut.

Polis Britain telah menangkap 880 orang berhubung rusuhan yang berlaku di London dan di beberapa bandar lain.

Bandar Manchester, Birmingham dan Liverpool yang dilanda rusuhan pada Selasa lalu turut tenang semalam.

Di London, seramai 371 orang setakat ini sudah disabitkan kesalahan berhubung ketenteraman awam.

Bandar Birmingham kekal tegang semalam selepas tiga lelaki Asia dilanggar sebuah kereta semasa mereka cuba mengawal kediaman daripada dirompak perusuh.

Namun, situasi di bandar tersebut tenang semula semalaman selepas bapa salah seorang mangsa meminta orang ramai tidak membalas dendam ekoran kematian tersebut.

Seorang lelaki berusia 37 tahun sudah ditangkap dan satu siasatan pembunuhan telah bermula.

Keganasan dan rompakan bermula pada Sabtu lalu di Tottenham di utara London ekoran kematian suspek penjenayah, Mark Duggan dalam satu operasi polis.

Suruhanjaya Bebas Aduan Polis menyatakan pada Selasa lalu bahawa, tidak ada bukti bahawa Duggan yang berkulit hitam melepaskan tembakan sebelum dia mati ditembak. - Agensi