Sapura United juara Liga Komuniti


PEMAIN-PEMAIN Sapura United meraikan kejayaan mereka muncul juara Liga Komuniti Mizi Sports 2011.


SAPURA UNITED muncul juara berganda Liga Bola Sepak Komuniti Mizi Sports 2011 apabila mengalahkan FC Cannes 8-2 pada perlawanan akhir pusingan kalah mati di Stadium Majlis Perbandaran Selayang baru-baru ini.

Dua jaringan masing-masing daripada Hanifuddin Abd. Rahman, Mohd. Shariduan dan Mohd. Norazman serta satu gol daripada Reduan Abdullah dan Mohd. Aizat sudah cukup untuk menghadiahkan gelaran kedua buat pasukan mereka.

Begitupun, FC Cannes tetap berjaya mencemaskan pasukan Sapura United seketika apabila berjaya merapatkan jurang 3-2 pada babak kedua menerusi dua jaringan Anggi Abdullah.

Namun, Sapura United membuktikan status mereka sebagai pasukan handalan dalam saingan ini apabila beraksi dengan tenang dan menguasai semula permainan untuk meledakkan lima gol lagi pada babak ketiga.

Sebelum ini, pasukan yang muncul juara liga bulan lepas itu berjaya mengalahkan Kosmo! 6-1 pada separuh akhir manakala FC Cannes, pasukan tangga kedua liga, mara ke final setelah menang 3-1 ke atas Kawan Lama.

Sebagai juara, Sapura membawa pulang trofi kemenangan, medal dan hadiah iringan, namun tiada insentif berupa wang tunai disediakan demi semangat kesukanan.

Sementara itu, di pusingan final kategori Plate pula, FC FC muncul juara dengan menewaskan Kayooz 4-2.

Liga bola sepak ini diperkenalkan buat julung kalinya hasil inisiatif syarikat pengeluar barangan sukan yang sedang meningkat naik di negara ini, Mizi Sports dengan kerjasama Planet Football sebagai penganjurnya.

Semua perlawanan selama 10 minggu ini hanya diadakan pada Sabtu dan Ahad sahaja di beberapa padang bola sepak yang berkualiti dan terpilih sekitar Lembah Klang.