Kad raya masih relevan



BAGI Shahidah Samsudin, 29, sambutan Aidilfitri tidak meriah sekiranya dia tidak menghantar kad raya kepada rakan-rakan rapat, saudara-mara, bekas rakan sepejabat dan kliennya.

Sejak zaman persekolahan, dia memang gemar menghantar kad raya kepada kawan-kawan. Pada masa itu, Shahidah gemar membeli kad raya bercorak kartun.

“Semasa di universiti pula saya akan hantar kad raya yang mempunyai logo universiti,” ujar pegawai perunding itu.

Shahidah memberitahu, sejak memasuki alam pekerjaan, syarikatnya akan memberi peruntukan sepuluh keping kad raya untuk setiap pegawai.

“Kalau saya memerlukan kad raya lebih, saya akan minta dengan rakan-rakan pejabat yang tidak menggunakannya atau saya membeli sahaja kad raya yang dijual di luar.

“Saya tidaklah menghantar terlalu banyak kad raya tetapi saya tidak lupa untuk menghantar kepada orang-orang tertentu terutama rakan-rakan baik dan keluarga saya,” katanya ketika dihubungi.

Paling menggembirakan, menurut Shahidah, adalah ketika menerima balasan kad raya daripada orang-orang yang menerima kad rayanya.

“Itulah yang seronoknya menulis kad raya. Setiap tahun saya akan menerima balasan kad raya antara sepuluh hingga 20 keping. Walaupun tidak banyak tetapi ia berbaloi,” katanya sambil memberitahu, budaya menghantar dan membalas kad raya membuat dirinya berasa lebih dekat dengan seseorang.

Tambah Shahidah, dia suka menghantar kad raya kerana ia bersifat peribadi dan memberikan kenangan kepada mereka yang menerimanya, berbanding Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mencatat ucapan yang sama dan dihantar kepada semua orang.

“Sampai sekarang saya masih simpan kad-kad raya yang saya terima kerana sayang untuk membuangnya. Bagi saya walaupun menghantar kad raya lebih mahal, SMS yang kurang bernilai.

“Buktinya, selepas penuh peti masuk pesanan SMS, kita akan membuang SMS lama termasuk ucapan-ucapan hari raya yang lebih kurang sama sahaja kerana ia ditiru dan dihantar semula kepada orang lain,” katanya.


WALAUPUN terdapat persaingan dengan Internet dan kemudahan SMS, namun kad raya masih mempunyai penggemar.


Tiga dekad lalu, budaya menghantar kad ucapan sudah menjadi satu kemestian kepada sebahagian daripada kita. Baik yang dekat mahupun jauh, kiriman kad ucapan cukup bermakna yang menjadi pengganti diri kepada si pengirim.

Perasaan gembira

Benar, keterujaan membeli kad raya pasti wujud dalam diri setiap orang yang menyambut Aidilfitri. Ketika itu, setiap kali posman berhenti dekat peti surat pula, melonjak-lonjak perasaan gembira kerana mungkin akan menerima sekeping kad raya pada hari itu.

Apa yang menarik, kad-kad ucapan yang dijual didatangkan dalam pelbagai corak dan rekaan seperti pelita, lemang dan ketupat, bunga, dan watak-watak kartun dengan dialog-dialog yang mencuit hati. Lebih istimewa, kad ucapan yang diterima tidak dibuang atau disimpan begitu sahaja. Bahkan, kepada yang kreatif, kad ucapan menjadi salah satu produk hiasan yang digantung pada ranting pokok yang menjadi hiasan kediaman.

Namun, pada hari ini suasana itu sudah banyak berubah. Budaya SMS dan Internet telah menggantikan tradisi menghantar kad raya.

Rohynoon Yussof daripada Jabatan Kumpulan Pemasaran Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) memberitahu, tiada pendedahan kepada generasi muda terutama kanak-kanak menyebabkan tradisi menghantar kad raya semakin dilupakan.

“Pos Malaysia telah mengadakan lawatan ke 15 buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Lembah Klang sejak 21 Julai lalu dan mendapati para pelajar amat teruja apabila didedahkan mengenai tradisi menghantar kad raya.

“Kami tidak sangka menerima sambutan yang sangat baik kerana pelajar-pelajar yang kami temui tidak sabar-sabar membeli kad raya dan menghantarnya kepada rakan-rakan kerana sebahagian besar daripada mereka tidak pernah menghantar atau menerima walaupun sekeping kad raya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Rohynoon, lawatan tersebut adalah sebahagian kempen hari raya kepada orang awam. Tahun ini merupakan tahun pertama Pos Malaysia memperkenalkan poskad hari raya yang disertakan bersama setem prabayar bernilai 30 sen.


POS Malaysia menasihatkan orang ramai supaya menghantar kad ucapan hari raya lebih awal.


“Kami menyediakan dua set poskad dan setiap set mengandungi lapan keping poskad yang mempunyai rekaan-rekaan berlainan bertemakan sambutan Aidilfitri.

“Harga pasaran adalah RM5 bagi setiap set dan ia boleh didapati di seluruh kaunter Pos Malaysia di seluruh negara dan dicetak sebanyak 1.4 juta keping,” katanya.

Rohynoon memberitahu, Pos Malaysia tidak menyasarkan keuntungan sebaliknya mereka mahu menggalakkan penghantaran ucapan melalui mel tradisional. Pada masa yang sama, menggalakkan para pelajar untuk menggunakan kaedah tradisional sebagai medium perantaraan dan komunikasi.

“Semasa lawatan kami ke sekolah-sekolah berkenaan, kami dapati ada pelajar yang tidak tahu menulis alamat penuh walaupun alamat rumah mereka sendiri.

“Jadi, melalui pendedahan seperti ini, bukan sahaja ia dapat mengambalikan tradisi, malah dapat mendidik masyarakat,” katanya.

Penghantaran menurun

Dalam pada itu, Rohynoon memberitahu, penghantaran kad raya semakin menurun setiap tahun sejak kebelakangan ini tetapi ia dijangka meningkat sebanyak dua peratus tahun ini.

“Pada tahun 2007 menghantaran kad raya melalui Pos Malaysia adalah sebanyak 8,426,911 keping manakala pada tahun 2008, jumlah tersebut menurun kepada 7,893,695 keping.

“Pada tahun 2009, jumlah kad raya yang dihantar melalui Pos Malaysia telah menurun lagi kepada 6,828,299 keping, begitu juga pada tahun 2010. Penghantaran kad raya melalui Pos Malaysia kini turun kepada 5,114,533 keping,” katanya.

Walaupun terdapat persaingan daripada penggunaan SMS dan e-mel, kad ucapan masih menarik perhatian pengguna kerana mempunyai nilai tersendiri iaitu lebih bersifat peribadi sebagai kenangan, untuk disimpan dan dipamerkan.


YASMIN (kanan) dan Rohynoon menunjukkan kad pos dan setem hari raya Aidilfitri Pos Malaysia.


“Penghantaran kad raya masih tertumpu di Lembah Klang iaitu sebanyak 57 peratus manakala negeri-negeri lain yang menunjukkan jumlah yang signifikan dalam menyumbangkan jumlah penghantaran kad raya ialah Kedah, Pulau Pinang dan Johor,” katanya.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Yasmin Ramli berkata, Pos Malaysia turut menyediakan setem khas Aidilfitri yang mengandungi ucapan Aidilfitri.

Setem itu boleh digunakan untuk menghantar kad raya mahupun surat biasa sempena bulan perayaan ini. Malah, pengguna boleh datang ke kaunter Pos Malaysia untuk mencetak gambar peribadi ke atas setem.

“Setem yang dijual secara pakej ini berharga RM20 dan mengandungi lapan keping setem bernilai 35 sen dan empat keping setem 65 sen,” katanya sambil memberitahu, 20 peratus hasil jualan setem akan disumbangkan kepada rumah-rumah kebajikan.

Selain itu, Yasmin mengingatkan pengguna supaya menggunakan setem 50 sen bagi setiap kad raya yang berat tidak lebih daripada 50 gram untuk mengelakkan didenda.

“Kad raya juga mesti dihantar selewat-lewatnya 26 Ogos ini bagi memastikan ia sampai sebelum hari raya,” katanya.