Kecil, pintar dan bergaya


REKAAN peti sejuk Samsung yang ringkas dan moden.


PERKAKASAN elektrik rumah yang mempunyai ciri-ciri pintar tentu sekali menjadi perhatian pengguna untuk berada di kediaman mereka.

Ciri-ciri pintar yang dimaksudkan termasuk mesra pengguna, menjimatkan tenaga, mesra alam dan banyak lagi bagi membantu memudahkan lagi pengendalian perkakasan bakal dimiliki.

Bagi memenuhi keperluan pengguna terutamanya mereka yang baharu memiliki rumah dan inginkan sesuatu yang bergaya, Samsung memperkenalkan peti sejuk satu pintu daripada rangkaian RA19PT.

Model terbaharu itu menawarkan reka bentuk bulat yang lebih ringkas. Ia amat sesuai dipadankan pada dapur pengguna yang serba moden.

Kalau diperhatikan dengan teliti pengguna juga akan mendapati pemegang peti sejuk itu tidak menonjol seperti kebanyakan produk lain sekaligus membuatkan ia kelihatan lebih kemas dan sempurna.

Saiz peti sejuk ini yang lebih kecil membuatkan ia sangat sesuai menjadi pilihan mereka yang memiliki kediaman seperti apartment atau kondominium yang mempunyai ruang dapur terhad.

Dengan dilengkapi teknologi pengawalan suhu yang diketengahkan di dalam peti sejuk ini, ia dapat membantu pengguna memastikan makanan disimpan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, daging dan banyak lagi agar sentiasa berada dalam keadaan segar.

Dalam pada itu, bagi mengekalkan kesihatan dan kebersihan, peti sejuk terbaharu itu menggunakan teknologi antibakteria. Teknologi tersebut dapat membantu peti sejuk bebas bakteria dan melindungi kesihatan pengguna apabila menggunakannya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peti sejuk yang dijual pada harga RM849 itu boleh melayari laman web www.samsung.com. - NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM