Asing segera mentega DNA babi


SEBUAH pasar raya terkenal di Pulau Pinang masih menempatkan mentega DNA babi bersama mentega halal di tempat sejuk beku semalam.


KUALA LUMPUR - Semua pengusaha pasar raya dan peruncit diminta mengasingkan segera mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi ke dalam rak seksyen tidak halal dengan segera.

Ia bagi mengelakkan umat Islam daripada terbeli mentega berkenaan sebagai bahan membuat kek dan biskut sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, pihak berkenaan juga perlu melupuskan logo halal yang tertera pada bungkusan mentega tersebut.

"Kami meminta kerjasama semua pengusaha pasar raya dan peruncit supaya mengasingkan segera mentega mengandungi DNA babi itu daripada rak halal ke dalam rak tidak halal dengan segera,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam mengesahkan mentega Golden Churn yang dipasarkan di Malaysia disahkan tidak halal kerana mengandungi DNA babi.

Sementara itu, Eksekutif Perhubungan Awam pasar raya Carrefour, Salmieah Mohd. Zin berkata, pihaknya telah menghentikan penjualan mentega tersebut dua minggu lalu selepas pengguna mula meraguinya.

"Kita ada dengar cerita mentega ini ada DNA babi dan disebabkan logo halalnya bukan daripada Jakim, maka penjualannya kita hentikan dua minggu lepas," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.