Misi Octavia RS & Superb

MAHU sebuah hot hatch yang lengkap? Skoda Octavia RS mungkin boleh menjadi jawapannya.


SKODA bermula sebagai pengeluar senjata api. Orientasi produknya kemudian bertukar arah menerusi pengeluaran basikal dan motosikal, sebelum digantikan dengan automobil pada awal tahun 1900-an.

Memiliki sejarah lebih 100 tahun dalam aspek penghasilan kenderaan, ia ada pengalaman yang cukup luas. Maka tidak hairanlah jika jenama itu boleh disifatkan sebagai berjaya di pasaran Eropah.

Dengan enam model iaitu kompak Fabia, hot hatch Octavia, SUV kompak Yeti, Roomster (MPV), Praktik (kenderaan komersial) dan sedan Superb, Skoda tidak canggung untuk bersaing dalam pasaran Eropah yang amat sengit itu.

Populariti Skoda turut dibantu oleh deretan anugerah dimenangi dalam pelbagai kategori yang disertainya. Malah, Skoda seringkali dibandingkan dengan pembuat kereta terkenal yang lain seperti Mercedes-Benz dan BMW. Jangan tidak percaya jika ada perbandingan itu dimenangi oleh Skoda apabila aspek kualiti dan nilai pada wang yang ditawarkannya diambil kira.

Bagaimanapun, kejayaan Skoda banyak disumbang oleh kuasa automotif utama Eropah, Volkswagen. Jenama dari Republik Czech itu menjadi milik penuh Volkswagen pada tahun 2000.

Sebagai anak syarikat, Skoda dilimpahi dengan kecanggihan teknologi Volkswagen dalam menghasilkan produknya. Skoda lazimnya ditawarkan pada harga lebih rendah. Sebab itulah ada yang menyifatkan Skoda sebagai “Poor man Volkswagen”. Tetapi, konotasi itu mungkin tidak begitu kena dengan pasaran Malaysia yang semua kereta memang dijual pada harga mahal tidak tentu pasal.

Di sini, jenama Skoda diam agak lama. Sebelum ini, memang ada model-model seperti Fabia dan Octavia dipasarkan. Namun, bilangan yang ada di atas jalan raya boleh dikira dengan jari.

Mungkin namanya yang sedikit janggal itu membuatkan ramai tidak berani untuk membelinya. Kalau beli nanti, bagaimana dengan aspek penyelenggaraan atau nilai jualan semula? Susah juga kalau kedai kereta terpakai pun tidak mahu terima. Betul tak?

Skoda Octavia RS


TEKNOLOGI TwinDoor yang ada pada Skoda Superb membolehkan kerja-kerja memasukkan dan mengeluarkan barang menjadi semakin mudah.


AutoPraha Sdn. Bhd. (Autopraha) dan Dunia Prestasi Auto Sdn. Bhd. bertindak selaku pemegang francais rasmi serta pengimport kenderaan Skoda sejak tahun 2004 di pasaran tempatan.

Mahu menghidupkan semula jenama Skoda, Autopraha memperkenalkan dua model sekali gus iaitu Skoda Octavia RS dan Skoda Superb untuk anda semua. Sebenarnya, di pasaran Eropah, Octavia ditawarkan dalam empat varian dengan varian RS merupakan model berspesifikasi penuh.

Kalau dilihat dari rekaan luarannya, tidak mustahil ada yang menyatakan model ini memang kelihatan membosankan. Jangan terlalu mudah menilai dari segi luaran. Octavia mungkin lebih sesuai untuk mereka yang menghagai kuasa dan kualiti pengendalian mengagumkan.

Jentera yang dibangun di atas platform sama dengan model-model seperti VW Golf MK5, Tiguan, EOS, Scirocco, selain beberapa model lain keluaran Kumpulan VW itu dijana oleh unit enjin penuh kuasa. Apa lagi kalau bukan enjin TSI 2.0 liter yang turut sama digunakan pada VW Golf GTI.

Kuasa enjin itu disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam kelajuan DSG. Transmisi binaan VW itu menjanjikan penukaran gear yang cekap, di samping menjimatkan penggunaan bahan api.

Skoda mendakwa tahap penggunaan bahan api untuk model itu cuma 7.5 liter bagi setiap 100 kilometer (km). Namun, angka itu tidak menghalang Octavia RS daripada mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh hanya 7.2 saat.

Bahagian dalamannya, suasana sebuah kenderaan Volkswagen dapat dilihat dengan ketara biarpun terdapat sedikit perubahan. Paparan papan pemukanya ringkas dan kemas di atas material plastik berkualiti tinggi. Sebagai hiburan sepanjang perjalanan, sistem audio Bolero dengan unit skrin sentuh pasti memuaskan.

Menjadi sebuah hot hotch, ruang kargo tidak semestinya sempit. Octavia RS menawarkan ruang seluas 560 liter yang boleh menjadi seluas 1,420 liter sekiranya tempat duduk penumpangnya dilipat.

Bagi tujuan keselamatan, jentera itu dipasang dengan lampu Xenon dengan ciri Adaptive Front-Lighting System (AFS). Sistem tersebut mengubah suai kedudukan talaan cahaya lampu berdasarkan kondisi pemanduan berbeza.

Skoda Superb


RUANG kabin Skoda Octavia RS yang kemas bagaikan Volkswagen.


Menjadi kenderaan paling besar dalam keluarga Skoda, Superb boleh dikategorikan dalam kelas yang sama dengan model seperti Ford Mondeo. Superb membuktikan bahawa bertubuh besar tidak semestinya enjin sentiasa hauskan bahan api.

Buktinya, Skoda mendakwa Superb hanya menelan 7.6 liter bagi setiap 100km. Penjimatan itu dapat dibuat berikutan penggunaan enjin 1.8 TSI bercekapan tinggi. Enjin dengan sistem turbo itu mampu menghasilkan kuasa melangkaui enjin aspirasi biasa (Naturally Aspirated) bersesaran 2.4 liter.

Bagi memastikan pertukaran gear yang pantas dan efisien, enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan DSG.

Transmisi klac berkembar termaju itu sememangnya terkenal dengan kemampuannya untuk memberikan prestasi terbaik dalam kelasnya.

Superb amat menitikberatkan aspek kemewahan, praktikaliti, keselesaan dan keselamatan. Sedan eksekutif itu memperoleh penarafan lima bintang daripada Euro NCAP. Ia hasil gabungan enam beg udara, di samping sistem keselamatan canggih termasuklah ABS, TCS, ESP dan EBD yang dipasang sebagai ciri standard.

Ruang dalamannya dipasang dengan kemasan kulit dan kayu berkualiti tinggi. Perincian pada setiap binaannya menimbulkan ambien yang selesa dan mewah. Untuk mempercayainya, anda harus memandu uji dan melihatnya secara dekat. Mungkin sudah tiba masanya Skoda diberi peluang sewajarnya untuk menyerlah kali ini.