Penerjun hebat

PENDELELA (kiri) dan Mun Yee bangga menunjukkan pingat gangsa yang mereka peroleh menerusi acara 10 meter terjun seirama wanita pada Universiade 2011 di Shenzhen semalam.


SHENZHEN – Kontinjen negara yang sedang berjuang pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011 semakin menghampiri sasaran satu emas, 1 perak dan 1 gangsa.

Pingat perak dan gangsa sudah berada dalam genggaman dan mereka kini hanya perlu mencari emas yang dilihat amat sukar untuk dicapai.

Dua pingat yang diperoleh setakat ini adalah daripada acara terjun yang menyaksikan Pandelela Rinong meraih perak dalam acara 10 meter platform individu kelmarin.

Semalam, Pandelela yang bergandingan dengan Leong Mun Yee tampil hebat untuk menghadiahkan pingat kedua buat kontinjen Malaysia pada Universiade 2011.

Kedua-dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menang pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama.

Bagaimanapun, pasangan itu hampir terlepas peluang untuk merangkul pingat selepas terkejut dengan jeritan para penonton Malaysia sebelum mereka membuat terjunan ketiga.

Pada aksi di Pusat Renang dan Terjun Shenzhen semalam, Pandelela melakukan terjunan yang lebih baik berbanding Mun Yee tetapi masih mampu menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang penerjun tuan rumah China dan Mexico.

Pasangan negara itu mengumpul keseluruhan 316.98 mata, ketinggalan 33 mata di belakang pemenang pingat emas iaitu pasangan dari China, Xing Wang-Ruolin Chen (349.98 mata) dan Paola Espinoca-Tatiana Ortiz dari Mexico (330.48 mata).

“Saya berpuas hati sebab semua terjunan saya agak kemas,” kata Pandelela.

Pada aksi semalam, Pandelela dan Mun Yee menduduki tempat keempat pada terjunan pertama selepas mengutip 48.00 mata tetapi kembali menduduki tempat kedua pada terjunan kedua (50.40 mata).

Pasangan itu ketinggalan di tempat keempat pada terjunan ketiga (62.10 mata) sebelum bangkit untuk menduduki tempat ketiga pada terjunan keempat (73.92 mata) dan terakhir (82.19 mata).

Mengulas mengenai kegagalan mengutip mata yang tinggi pada terjunan pertama, Pandelela berkata, dia tidak melihat pungutan mata yang tertera di skrin besar kerana mahu memberi tumpuan untuk melakukan terjunan dengan lebih baik.

Pada masa yang sama, Mun Yee mengakui dia tidak melakukan aksi yang baik terutamanya pada terjunan ketiga dan keempat.

“Saya gembira sebab berjaya dapat pingat. Ini adalah penampilan pertama saya pada temasya Universiade,” kata Mun Yee.

“Tetapi saya rasa, saya mampu menampilkan persembahan yang lebih baik. Terjunan ketiga dan keempat saya kurang baik dari segi individu. Saya perlu berlatih ber sungguh-sungguh lagi.”

Kejayaan itu pasti menyuntik semangat buat Pandelela dan Mun Yee untuk memburu slot ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Begitupun, pasangan itu perlu beraksi dengan mantap pada Kejohanan Terjun Piala Dunia Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) pada Februari 2012 di London untuk layak ke Olimpik.

Sementara itu, penerjun lelaki, Ahmad Amsyar Azman terkandas pada aksi separuh akhir dalam acara 1 meter papan anjal selepas mengumpul 280.55 mata untuk menduduki tempat kelima keseluruhan.

Cabaran seorang lagi wakil negara, Muhammad Fakhrul Izzat Md. Zain berakhir di pusingan kelayakan.