Skuad Olimpik tak jadi ke China

KEM latihan dan aksi persahabatan selama seminggu di China bermula 9 Septem- ber depan yang dirancang untuk skuad Olimpik negara terpaksa dibatalkan.

Ini kerana, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal mendapatkan kelab tempatan di sana untuk diuji skuad Olimpik negara menjelang aksi sulung pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 menentang Jepun di Tosu, Fukuoka, 21 September depan.

Namun FAM bingkas melakukan tindakan pantas menggantikannya dengan dua aksi persahabatan di Kuala Lumpur iaitu bertemu kelab dari Iraq, Al-Arbil pada 9 September dan skuad Olimpik Oman pada 14 September.

Jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee berkata, dua aksi persahabatan alternatif itu tetap dianggap sesuatu yang baik untuk persiapan terakhir menjelang aksi bertemu Jepun.

“Saya baru menerima e-mel tadi (semalam) dari Wisma FAM mengatakan bahawa kelab yang kita rancang untuk bertemu di China itu mempunyai komitmen dengan jadual liga mereka di sana pada masa tersebut.

“Tetapi bagi saya, dua pasukan ganti ini tetap kuat iaitu Al-Arbil yang akan ke Indonesia untuk bertemu Persipura Jayapura pada suku akhir Piala AFC serta skuad Olimpik Oman yang singgah sebelum menghadapi Korea Selatan.

“Diharap menerusi dua perlawanan ini, kita akan dapat menguji segala kekuatan serta kelemahan sebelum bertemu pasukan Jepun,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan, skuad Olimpik negara akan terbang ke China untuk kem latihan dan aksi persahabatan menentang dua kelab tempatan di sana.

Ia sebagai kesinambungan kem latihan dan siri persahabatan selama sebulan di Slovakia yang akan berakhir pada 28 Ogos ini.

“Kita akan bertolak ke Fukuoka pada 16 September. Jadi kita mempunyai lima hari untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana. Saya rasa ia amat memadai,” jelas Kim Swee.

Skuad Olimpik negara yang mencatatkan empat kemenangan dan tewas sekali di Slovakia setakat ini akan menghadapi baki dua perlawanan menentang Nitra (Selasa) dan Levice pada Jumaat.