Hanks bayar balik duit tiket wayang peminat


SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem Larry Crowne lakonan Tom Hanks (kiri) dan Julia Roberts.


LOS ANGELES - Pelakon terkenal, Tom Hanks memberikan wang sebanyak AS$25 (RM74.56) kepada satu pasangan yang benci filem lakonan terbaharunya, lapor sebuah akhbar semalam.

Pasangan itu memberitahu Hanks, mereka tidak menyukai filem komedi Larry Crowne yang dibintanginya bersama aktres Julia Roberts.

Dia membayar pasangan itu selepas berbual dengan mereka semasa mengisi petrol ke dalam tangki minyak keretanya dekat Pacific Palisades, California, baru-baru ini. Hanks dikatakan berkata: "Saya meminta maaf kerana anda kecewa tetapi bagaimana jika saya membayar semula tiket wayang anda.?"

Menurut majalah National Enquirer, Hanks dilaporkan menyeluk sakunya dan menyerahkan wang AS$25 kepada pasangan itu. - Agensi