Program TAPS, STAR dilancar


NAJIB, Muhyiddin dan Mohd. Sidek bermesra dengan sebahagian pelajar tajaan JPA pada majlis pelancaran TAPS dan STAR di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan dua inisiatif utama untuk membolehkan pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memainkan peranan penting dalam menggerakkan transformasi negara.

Perdana Menteri berkata, program dikenali Talent Acceleration in Public Service (TAPS) dan Scholarship Talent Attraction and Retention (STAR) dirangka untuk menyediakan peluang-peluang menarik kepada pemegang biasiswa memajukan kerjaya masing-masing dalam bidang-bidang utama menerusi Program Transformasi Kerajaan (PTK) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) apabila mereka tamat pengajian.

Beliau berkata, TAPS adalah satu inisiatif JPA sebagai sebahagian daripada usaha mentransformasi perkhidmatan awam menjadi satu kerjaya pilihan. Menerusi program itu pemegang biasiswa JPA yang cemerlang akan dipilih untuk mengendalikan isu-isu dasar awam dan projek berkeutamaan tinggi.

"Saya pasti ramai daripada anda di sini mengagumi kedudukan dalam perkhidmatan awam dan ia adalah platform yang tepat," katanya ketika melancarkan kedua-dua program itu di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

TAPS adalah inisiatif bersama diketuai JPA bersama Razak School of Government (RSOG) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bagi menarik dan membimbing pemegang-pemegang biasiswa JPA yang cemerlang menyertai perkhidmatan awam.

Najib berkata, menerusi TAPS, pelajar-pelajar pintar itu akan disandarkan kepada pegawai-pegawai kanan awam yang akan menjadi mentor mereka.

Kumpulan pertama program itu melibatkan 40 pelajar cemerlang dan ia akan dimulakan Oktober ini.