Hidup terkapai-kapai di jalanan



SEUSAI bersahur pada Rabu lalu, penulis singgah seketika di kawasan kompleks beli-belah Kota Raya di tengah ibu kota. Kunjungan penulis bukan bertujuan untuk bersuka ria. Sebaliknya, ingin melihat sejauh mana jujurnya kata-kata seorang gelandangan yang memberitahu lokasi tidurnya terletak di pintu sebuah tandas.

Mata penulis kemudiannya melilau pada sudut-sudut tertentu di sekitar pusat beli-belah tersebut. Gelandangan-gelandangan dilihat tidur bergelimpangan di atas tanah dan berbumbungkan langit.

Tiada tilam empuk dan bantal. Mereka hanya menjadikan beg yang barangkali terisi pakaian sebagai bantal untuk mengalas kepala. Para gelandangan itu juga tidak kisah dengan debu-debu yang berterbangan yang memungkinkan mereka terkena jangkitan penyakit.

Bagaimanakah dengan perasaan malu? Tidakkah mereka malu kepada orang ramai yang lalu lalang di kawasan sekitar?

Ya, memang benar. Seperti pengakuan lelaki itu pada hari pertama kami bertemu, ‘rumahnya’ sememangnya di koridor tandas yang terletak di kawasan parkir berhadapan bangunan Cahaya Suria dan berhampiran Puduraya.


SEJAK awal petang, gelandangan-gelandangan di sekitar pusat beli-belah Kota Raya sudah siap berkumpul apabila dikhabarkan akan menerima bantuan makanan daripada Big Belly Brothers & Fairies Food.


Emosi sayu mula menyapa tatkala melihat dia yang hanya mahu disebut sebagai Adnan, masih memakai baju yang sama ketika kami mula-mula bertemu. Dia tidur berdengkur dan jelas dia nampak betul-betul letih.

Melihat keadaan tersebut, pelbagai persoalan timbul di fikiran. Adakah Adnan sudah makan? Adakah dia mendapat rawatan di klinik kala ditimpa sakit? Bilakah kali terakhir dia tersenyum dan ketawa?

Dia juga hanya menggunakan alas tidur yang diberikan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin semasa Program Pemberian Makanan Percuma Kepada Gelandangan Ibu Kota Sempena Ramadan oleh Big Belly Brothers & Fairies Food anjuran Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Wangsa Maju) baru-baru ini.

Kenderaan yang bertali arus ditambah dengan kicauan burung gagak tanpa henti pada Subuh yang bakal berlabuh itu, sedikitpun tidak mengganggu lena Adnan.

Lelaki separuh umur itu terus memeluk sebuah beg galas yang dijadikan bantal peluknya. Ada ketikanya, kedengaran dia terbatuk-batuk kecil.

Hiruk-pikuk kenderaan yang semakin menguasai ibu kota membuatkan penulis meninggalkan lokasi itu dengan perasaan yang pastinya sukar untuk dihuraikan.

Masih terngiang-ngiang kata-kata Adnan semasa Program Pemberian Makanan Percuma Kepada Gelandangan Ibu Kota Sempena Ramadan baru-baru ini.

“Ini kali kedua saya datang ke Kuala Lumpur kerana ada krisis famili dan anak-anak. Dulu saya bekerja kini tak lagi.

“Saya makan apa yang orang lain makan, saya tinggal di tepi tandas di sana, mungkin awak tak biasakan, tapi nak buat macam mana, ini sudah suratan,” katanya yang pernah menjawat jawatan penting dalam pentadbiran sebuah negeri di utara Semenanjung.

Persiapan Aidilfitri


BAGAIMANAKAH masa depan kanak-kanak yang juga merupakan sebahagian daripada gelandangan kota ini?


Terlalu banyak persoalan sebenarnya yang ingin dilontarkan. Namun, demi menjaga hatinya yang sudah lama berkecamuk, hasrat itu dipendam.

Adnan ditanya bagaimanakah persiapan hari rayanya? Jawabnya dengan nada penuh kesedihan: “Ada rasa nak balik kampung, tapi rumah tu mesti dah kosong, mereka biarkan saya. Namun, jauh di sudut hati saya berharap pada hari yang mulia ini mereka akan mengingati saya.”

Kisah kebanyakan gelandangan semuanya tentang kecelaruan dan kesedihan. Begitu juga dengan kisah seorang lelaki yang hanya mahu dikebali sebagai Ismail, yang berumur dalam lingkungan umur 40-an. Bekas anggota tentera itu juga tidak menyangka takdir hidupnya sebegitu rupa ketika menghampiri usia emas.

“Saya tidur di sebelah dia (Adnan), saya makan ikut orang, saya tak kerja sebab saya ada masalah kesihatan,” akuinya.

Ismail berkata, dia rindukan keempat-empat orang anaknya. Namun secara tiba-tiba lelaki itu membentak sambil berkata: “Saya beri mereka belajar tinggi-tinggi, ini yang mereka balas pada saya.”

Ditanya tentang Aidilfitri, Ismail berkata, Aidilfitri sudah tidak ada dalam kamus hidupnya sejak sekian lama.

“Kami tidak tahu hendak ke mana?” katanya menoktahkan perbualan.

Sementara itu, seorang lagi gelandangan yang dikenali sebagai Salman, 40-an, lebih banyak mendiamkan diri. Pada asalnya, dia enggan diwawancara dan terus memasuki baris panjang untuk mengambil makanan yang akan diedar.

Namun, hatinya cair apabila dipujuk. “Saya macam gelandangan lain juga tapi saya tidur bawah pokok, kalau hujan, saya lari berteduh di bawah bangunan, nak bekerja tapi tidak ada orang nak terima,” ringkas jawapannya.


MEREKA sentiasa mengharapkan bantuan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan.


Salman memberitahu, dia enggan terlalu memikirkan tentang hari raya kerana mahu menikmati juadah berpuasa yang lazat pun sukar baginya.

“Saya dah lama tak makan ketupat, rendang dan lemang, mungkin orang macam kami menunggu belas ihsan orang lain seperti hari ini,” katanya yang biasanya akan meraikan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jamek yang berdekatan.

Setiausaha Big Belly Brothers & Fairies Food, Shahira Kartini Mohd. Sharif, 26, berkata, terdapat ribuan gelandangan yang senasib dengan Adnan, Ismail dan Salman.

Golongan miskin tegar

Beritahu Shahira Kartini, selain di kawasan kompleks beli-belah Kota Raya, gelandangan yang masih terkapai-kapai mencari rumah tetap untuk didiami itu juga kerap memilih lokasi di sekitar Kuala Lumpur seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India, Jalan Pudu, di bawah jambatan dan juga di kaki-kaki lima bangunan sebagai tempat berteduh.

“Mereka merupakan golongan miskin tegar dan tak mampu menyewa tempat tinggal kerana pendapatan yang tak mencukupi.


Shahira


“Kebanyakannya hanya makan sehari sekali saja. Justeru kami ingin menghulurkan bantuan makanan kepada mereka,” kata sukarelawan itu.

Seramai 200 orang yang kurang bernasib baik termasuk kanak-kanak menerima bantuan makanan, baju hujan dan alas tempat tidur pada majlis itu yang dianjurkan oleh Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia itu.

Program Big Belly Brothers and Fairies merupakan salah satu pemohon Dana Belia 1Malaysia melalui Pemuda Barisan Nasional (BN) dan 1MDB yang berjaya mendapat geran sebanyak RM30,000 bagi melaksanakan program pengagihan makanan tersebut.

Mereka adalah organisasi kebaikan dan merupakan kumpulan sukarelawan yang memberi bantuan agihan makanan kepada gelandangan. Keahlian mereka silih berganti.

“Pada masa akan datang, kita bercadang untuk menubuhkan rumah perlindungan untuk gelandangan di sekitara pusat beli-belah Kota Raya. Selain itu, kita juga bercadang memohon khidmat pelajar perubatan untuk memberi bantuan pemeriksaan kesihatan kepada mereka, saya harap impian kami akan jadi kenyataan,” kata anak muda itu mengharap.