Skuad Olimpik sudah bersedia


SKUAD Olimpik negara sudah bersedia menggalas cabaran pada pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia. Pada kempen kelayakan tersebut, skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Bahrain dan Syria.


MISI lima minggu di Slovakia berakhir dengan kejayaan apabila skuad bola sepak Olimpik negara mencatat lima kemenangan daripada tujuh perlawanan persahabatan.

Tepat pukul 9.35 malam kelmarin, barisan 27 pemain muda negara itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dengan membawa pulang moral yang cukup tinggi.

Bagaimanapun, tiga pemain - Wan Zack Haikal Wan Nor, Irfan Fazail dan Fadhli Shas terpaksa 'ditinggalkan' di Slovakia kerana mereka telah pun mengikat kontrak pinjaman selama dua bulan dengan kelab Liga Corgon Slovakia, ViOn Zlate Moravce pada Jumaat lalu.

Kecuali Gary Steven Robbat, Ahmad Fakri Saarani, Affize Faisal Mamat, Azrul Azmi dan K. Sasikumar, baki 22 pemain lain hanya diberi cuti selama tiga hari sebelum kembali menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis ini.

Selepas misi Slovakia boleh dianggap berjaya, misi seterusnya buat skuad Olimpik negara ialah untuk menggegar Stadium Tosu pada aksi sulung Kumpulan C, pusingan akhir Zon Asia, Kelayakan Olimpik 2012 menentang Jepun pada 21 September depan.

Tosu merupakan sebuah bandar yang terletak di sebelah timur Wilayah Saga dan secara ekonominya merupakan sebahagian daripada kawasan metropolitan Fukuoka.

Kini tinggal tiga minggu saja lagi buat ketua jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee bersama pembantunya, Hasan Sazali Mohd. Waras dan jurulatih penjaga gol, Yong Wai Hwang memperkemaskan persiapan untuk berdepan Jepun.


KIM SWEE (kiri) memperkemas barisannya bagi menghadapi pusingan Kelayakan Olimpik 2012 di Tosu, Jepun.


Apa yang pasti, pendedahan serta pengalaman berguna selama lima minggu di Slovakia perlu diteruskan momentumnya sepanjang tempoh tiga minggu ini.

“Selepas beraksi tujuh perlawanan di Slovakia, dari situ kita telah mendapat satu pendedahan yang cukup baik untuk kita menilai segala kekuatan serta kelemahan pasukan.

“Dari segi peningkatan, keputusan perlawanan pada kunjungan ke Slovakia kali ini memang cukup baik apabila kita menang lima perlawanan dan hanya tewas dua kali.

“Ia jauh berbeza ketika dua kali saya membawa skuad ini ke Slovakia sebelum ini apabila kita lebih banyak mengalami kekalahan,” kata Kim Swee ketika ditemui Kosmo! sejurus tiba di KLIA malam kelmarin.

Lima kemenangan skuad Olimpik negara itu dicatat ketika bertemu Moldava 1-0, Topolcany 2-1, Mikulas 2-1, Dolny Kubin 2-0 dan Levice 1-0.

Empat pasukan tersebut merupakan kelab Liga 1 Slovakia sementara Topolcany merupakan kelab Liga 2 Slovakia.

Manakala dua perlawanan yang berakhir dengan keputusan tewas ialah bertemu kelab Hungary, Budapest Honved 1-4 dan kelab Liga Corgon Slovakia, FC Nitra 0-1.

Skuad Olimpik negara bakal diuji lagi pada dua perlawanan persahabatan yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur iaitu bertemu kelab Iraq, Al-Arbil pada 9 September dan skuad Olimpik Oman (14 September).

“Dua perlawanan ini akan dijadikan persiapan terbaik sebelum kita berlepas ke Jepun pada 16 September untuk lima hari kita menyesuaikan diri dengan keadaan di Tosu,” jelas Kim Swee.

Namun, buat seketika kem latihan pusat skuad Olimpik negara tidak akan disertai Wan Zack Haikal, Irfan dan Fadhli yang hanya akan pulang ke tanah air pada 11 September, sehari selepas aksi ViOn menentang Zilina.

Ketiga-tiga trio berusia 20 tahun itu diberi pelepasan untuk beraksi menentang Jepun, sekali gus terlepas aksi Liga Corgon bertemu Tranava pada 19 September.

Namun mereka akan kembali ke Slovakia selepas 21 September untuk berpeluang diturunkan ViOn ketika menentang Banska Bystrica (24 September), Trencin (1 Oktober), Ruzomberok (15 Oktober), Nitra (22 Oktober) dan Dunajska Streda (29 Oktober).

Kontrak mereka tamat pada 31 Oktober bagi membolehkan tiga pemain itu beraksi pada Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia (11-21 November) serta dua aksi Kelayakan Olimpik bertemu Syria (24 November) dan Bahrain (27 November).

Ditanya adakah ketiga-tiga pemain itu berpeluang untuk mendapat tawaran kontrak secara tetap bersama ViOn apabila saingan Liga Corgon bersambung pada 25 Februari tahun depan setelah berehat tiga bulan sempena musim sejuk, Kim Swee berkata: “Terpulang kepada pemain itu sendiri.

“Mereka dipilih untuk dipinjam selama dua bulan ini berdasarkan tahap keupayaan yang ditonjolkan sepanjang kita berada sebulan di Slovakia ini.

“Jadi pihak ViOn sendiri akan menilai prestasi ketiga-tiga pemain ini sepanjang tempoh dua bulan ini sama ada mereka akan ditawarkan kontrak kekal atau sebaliknya.”

Pada Sabtu lalu, Wan Zack Haikal, Irfan dan Fadhli berada di bangku simpanan ViOn ketika seri 0-0 dengan Senica tetapi tidak dimasukkan sebagai pemain gantian.


BARISAN pemain Olimpik negara disambut meriah oleh peminat tempatan sebaik tiba di KLIA, Sepang dari Slovakia malam kelmarin.


Maka peluang masih terbuka buat ketiga-tiga mereka untuk bergelar anak Malaysia pertama beraksi di liga utama Slovakia itu.

Berbalik kepada persiapan untuk menghadapi Jepun, Kim Swee tetap berasakan sesuatu kekurangan apabila dia tidak akan dapat menurunkan pemain tengah, Gary Steven dan penyerang, Ahmad Fakri.

Nama kedua-dua pemain itu tiada dalam senarai 22 pelatih untuk kem latihan bermula Khamis ini kerana mereka digantung perlawanan akibat menerima kad merah sebelum ini.

Gary menerima kad merah ketika aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Olimpik menentang Lebanon manakala Fakri menerima kad merah ketika skuad kebangsaan bertemu Singapura pada aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014.

“Kita akan menghadapi Jepun tanpa kelibat Gary dan Fakri. Memang di bahagian tengah nampak sedikit kelemahan.

“Bagaimanapun, sepanjang tempoh persiapan ini, bukan kita mahu kenal pasti kelemahan itu, tetapi cuba memperbaikinya sebaik mungkin,” kata Kim Swee.

Dengan ketiadaan Gary, Kim Swee dilihat banyak mencuba gandingan K. Gurusamy dan Shukor Jusoh bagi menjana jentera tengah sambil Irfan bertindak sebagai penyerang kedua.

Satu lagi posisi yang cukup kritikal sebelum ini iaitu posisi penyerang utama kini tampak semakin baik dengan kehadiran dua pemain baharu iaitu Ahmad Hazwan Bakri dari Kuala Lumpur dan Izuan Solahuddin (Kelantan).

“Memang penjaring terbanyak kita di Slovakia ini adalah Wan Zack Haikal biarpun dia merupakan pemain sayap.

“Tapi apa yang positif, dua penyerang baharu yang saya bawa masuk untuk kem latihan di Slovakia ini iaitu Hazwan dan Izuan telah menunjukkan prestasi yang baik.

“Ini sekali gus memberi cabaran buat penyerang-penyerang sedia ada seperti Izzaq Faris Ramlan, A. Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim dan Ferris Danial Mat Nasir untuk bersaing secara sihat merebut tempat,” tegas Kim Swee.

Sentuhan penyerang skuad Olimpik negara sebelum ini agak tumpul apabila pada pusingan pertama ketika menang 2-0 ke atas Pakistan, dua jaringan tersebut dihasilkan pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Irfan.

Pada aksi kedua di Lahore, skuad negara sekadar mengikat Pakistan 0-0 untuk mara dengan agregat 2-0.

Bertemu Lebanon di pusingan kedua pula, skuad negara berjaya seri 0-0 di tempat lawan sebelum menang 2-1 di Kuala Lumpur hasil jaringan Irfan dan Wan Zack Haikal.

Selepas melakukan rumusan pada tujuh aksi persahabatan selama lima minggu di Slovakia, Kim Swee mengumumkan Wan Zack Haikal sebagai pemain terbaik untuk kem latihan kali ini.

“Wan Zack bukan saja muncul penjaring terbanyak pasukan, tetapi turut mempamerkan tahap permainan yang cukup tinggi.

“Itulah sebabnya ViOn berminat mendapatkan khidmatnya dan harap kelab tersebut dapat memanfaatkan kemampuan yang dimiliki Wan Zack untuk membantu mereka dalam saingan Liga Corgon,” ujar Kim Swee.