Kelantan sedia pertahan gelaran

MESKIPUN dihimpit masalah penjaga gol, penyandang juara, Kelantan sudah bersedia memulakan kempen Piala Malaysia musim ini.

Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu berkata, sesi latihan yang bermula Jumaat lalu selepas sambutan Aidilfitri digunakan sebaik mungkin dalam memantapkan skuad The Red Warriors.

Menurut beliau, segala persiapan berjalan dengan lancar dan barisan pemainnya berada pada tahap terbaik menjelang aksi sulung menentang Sarawak di Stadium Sarawak, Kuching malam ini.

"Kami perlu menang dalam perlawanan pertama bertemu Sarawak. Ini penting sebagai bekalan semangat bagi mengharungi saingan peringkat kumpulan selepas ini.

"Begitupun, saya tidak mahu mengambil mudah perlawanan dengan Sarawak.

"Walaupun mereka beraksi dalam saingan Liga Premier, tetapi kemampuan pasukan itu tidak boleh dipandang rendah," kata Karathu semalam.

Karathu memberitahu, saingan Piala Malaysia berbeza dengan kempen Liga Super dan setiap pasukan pasti menampilkan aksi yang berbeza dalam cabaran kali ini.

"Setiap pasukan yang bertemu dengan Kelantan pasti akan bermain mati-matian dan cuba untuk menewaskan kami.

"Jadi sebagai juara Liga Super dan Piala Malaysia, kami harus tinggalkan gelaran tersebut buat seketika, sebaliknya bekerja dengan lebih keras.

"Saya mahu pemain mempamerkan aksi terbaik dan memberikan tumpuan sepenuhnya serta bermain sebagai satu pasukan sepanjang perlawanan berlangsung bagi memastikan kita berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan musim lalu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, jurulatih yang kaya dengan pengalaman itu memberitahu, kesemua pemainnya bebas daripada kecederaan kecuali Zairul Fitree Ishak dan R. Surendran.

"Zairul Fitree semakin pulih, tetapi masih belum dapat beraksi, jadi saya akan tunggu sehingga dia pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya.

"Surendran masih lagi bergelut dengan kecederaan. Saya harap dia mampu pulih dalam masa terdekat untuk membantu kita dalam saingan kali ini," katanya.

Mengulas mengenai jentera serangan, Karathu berkata, penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha semakin menampakkan keserasian bersama gandingan baharunya, Azammuddin Mohd. Akil.

"Saya gembira melihat perkembangan ini, kedua-dua pemain semakin serasi dan ini memudahkan kerja saya untuk memperkemas dan mempertajam lagi jentera serangan pasukan bagi saingan kali ini," jelasnya.