Menu petang baharu Kenny Rogers


ESTHER bersama dua kakitangan KRR memperkenalkan set makan dan minum petang KRR di pusat beli-belah Empire, Subang Jaya baru-baru ini.


INGIN menikmati makan petang yang mengenyangkan dan pada masa yang sama berada di restoran yang menawarkan suasana makan yang eksklusif?

Apa kata jika anda mencuba menu baharu yang diperkenal oleh restoran makanan segera terkemuka, Kenny Rogers Roasters (KRR).

Kali ini, rangkaian restoran itu mahu para pelanggannya mencuba kelainan dengan merasai makanan berbentuk snek ringan tetapi, sihat untuk tubuh badan.

Menurut Pengurus Jenama Kanan Berjaya Roasters (M) Sdn Bhd., Esther Woo, terdapat pelbagai pilihan menu yang boleh dipilih oleh para pelanggan.


SANDWICH telur dan mayonis serta daging salai dan keju.


Antara menu yang paling ringkas namun ideal kata Esther ialah Tea Sandwich.

"Tea Sandwich mempunyai dua perasa iaitu telur dan mayonis serta daging salai dan keju.

"Sandwich yang disediakan menggunakan roti gandum penuh ini hanya berharga RM5.50 setiap satu," beritahu Esther.

Bagi mereka yang mahukan makanan rendah karbohidrat, jawapannya ialah tortilla balut bakar.


COKLAT panas dengan aiskrim yang menggiurkan.


Roti tortilla itu kata Esther, diisi dengan kepingan ayam, daun salad dan timun.

Ia juga mempunyai dua perasa iaitu perasa barbeku atau sos thousand island. Pengunjung juga katanya, boleh mencampurkan kedua-dua perasa itu jika berkeinginan.

Selain sandwich dan tortilla, bagi penggemar salad, KRR memperkenalkan dua jenis salad, iaitu Salad Classic Garden dan Ceaser Salad Supreme.


TORTILA perasa barbeku dan thousand island pilihan yang mengenyangkan.


Salad Classic Garden dengan daun salad, bawang merah dan timun menggunakan sos thousand island, manakala Ceaser Salad Supreme pula membawakan anda roti kering, daun salad, bawang merah dan kuah salad ceaser khas dengan keju parmesan.

Kesemua menu yang disenaraikan itu, pastinya akan membuka selera khususnya kepada mereka yang menyukai pilihan makanan berasaskan roti dan salad.

Lebih menarik, kesemua menu itu hanya bermula pada harga RM5.50 sahaja.


KEK lobak merah bersalut walnut.


"Namun, terdapat pelanggan yang lebih menyukai pencuci mulut atau pemanis untuk menceriakan minum petang mereka.

"Justeru, KRR memperkenalkan empat jenis pencuci mulut yang kesemuanya adalah kek," ujarnya.

Kek-kek yang diperkenalkan itu terdiri daripada variasi kek keju, kek coklat panas dengan aiskrim vanila, kek karot dengan kacang walnut serta kek coklat fudge.

Justeru, orang ramai dialu-alukan untuk menjamah hidangan-hidangan baharu di rangkaian restoran KRR di seluruh negara yang turut dilengkapi dengan sistem WiFi.

Menu-menu tersebut akan mula dihidangkan pada pukul 3 hingga 6 petang. - NIZHA PERIASWAMY