Saya tidak jual anugerah - Datuk Undang Naning

ABDUL LATIF memegang buku perlembagaan Tambo Alam Naning di Balai Rasmi Datuk Undang Wilayah Naning, Melaka semalam.


ALOR GAJAH - "Saya tidak pernah jual sebarang anugerah termasuk anugerah Datuk."

Demikian tegas Datuk Undang Wilayah Naning ke-19, Datuk Abdul Latif Hashim mengenai isu penjualan anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk oleh Datuk Undang Wilayah Naning.

Menurutnya, dia sebagai Datuk Undang Wilayah Naning yang sah tidak pernah menjual anugerah darjah kebesaran atau melantik wakil untuk menjual anugerah berkenaan.

"Kami juga tidak merancang mengadakan majlis penganugerahan darjah kebesaran pada 20 Oktober ini kerana majlis seperti itu telah diadakan Mei lalu dan hanya akan diadakan sekali lagi pada Mei tahun depan.

"Oleh itu, jangan percaya jika ada yang mengatakan dia mewakili Datuk Undang Naning dan meminta bayaran bagi pengurniaan anugerah," katanya ketika ditemui di Balai Rasmi Undang Naning di sini semalam.

Kosmo! Selasa lalu melaporkan kebimbangan seorang ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Amin, 50-an, yang khuatir ditipu apabila diminta membayar sejumlah wang RM50,000 oleh seorang individu bagi tujuan pengurniaan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk oleh Datuk Undang Wilayah Naning, Melaka.

Amin telah membayar RM5,000 sebagai wang pendahuluan dan suspek memberi jaminan gelaran itu akan disampaikan jika baki wang berkenaan dijelaskan secara berperingkat-peringkat menjelang istiadat di Alor Gajah pada 20 Oktober depan.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.