Penduduk Muslim-Kristian bergaduh di Ambon

SEKUMPULAN penduduk Muslim dan Kristian bergaduh dengan bersenjatakan parang dan batu di Ambon kelmarin.


AMBON - Pasukan keselamatan dikerah ke wilayah timur Indonesia selepas kumpulan penduduk Muslim dan Kristian bergaduh dengan bersenjatakan batu dan parang, kata beberapa pegawai semalam.

Dalam kejadian itu, seramai tiga orang maut dan 80 lagi cedera.

Menurut seorang ketua polis trafik, Kapten Marinus Djati, keganasan tersebut berlaku di bandar Ambon kelmarin selepas khabar angin tersebar bahawa seorang penunggang teksi motosikal yang mati dalam kemalangan jalan raya telah diseksa dan dibunuh oleh penduduk Kristian.

Kumpulan penduduk Muslim dan Kristian bergaduh selepas lelaki itu dikebumikan.

Kedua-dua kumpulan itu saling membaling batu dan mengayun parang selepas berbalas cacian.

Para perusuh itu juga membakar rumah, kereta dan motosikal walaupun polis cuba untuk menyuraikan mereka dengan melepaskan tembakan amaran.

Dua daripada mereka yang terbunuh itu merupakan pelajar sekolah.

Menurut jurucakap polis, Mejar Jeneral Anton Bachrul Alam, kira-kira 200 anggota pasukan keselamatan daripada unit khas ditempatkan di Ambon untuk mengawal ketenteraman. - AP