Potensi jenama Pop Shuvit

POP SHUVIT kini sedang giat mempromosikan album terkini mereka Cherry Blossom Love Affair.


BAND Pop Shuvit bukan lagi band picisan, jenama Pop Shuvit sudah bertebaran di serantau Asia. Buktinya, mereka pernah berdiri sepentas bersama beberapa band antarabangsa seperti 30 Seconds to Mars, My Chemical Romance, The All American Rejects, Neon Trees, Incubus dan banyak lagi.

Tidak hanya itu, genre muzik hip hop rock bawaan mereka juga semakin dekat dengan hati peminat di Jepun, Filipina, Singapura, Thailnd dan Brunei apabila album terbaharu mereka Cherry Blossom Love Affair mula berada di pasaran tempatan sejak 20 Julai lalu turut diedarkan di negara tersebut.

Meskipun begitu, terdapat impian yang masih belum tertunai selepas 11 tahun penubuhan Pop Shuvit iaitu mereka mahu muzik mereka diterima di Eropah dan juga Amerika.

Oleh itu, tahun depan Pop Shuvit yang dianggotai oleh lima orang ahli itu akan terbang ke Amerika untuk menyertai festival muzik terbesar Amerika iaitu Festival Muzik SXSW yang akan berlangsung pada bulan Mac di Austin, Texas, Amerika.

"Mungkin peminat di Malaysia dan sekitar Asia sudah menerima lagu-lagu Pop Shuvit tetapi sepanjang 11 tahun kami tidak pernah sampai ke Eropah atau Amerika.

"Jadi kami ada perancangan mahu ke sana dan tahun depan memang akan ke Amerika. Sebenarnya, tahun lepas kami sudah dijemput tetapi album baharu masih dalam proses, jadi lebih baik kami tunggu sehingga album siap sepenuhnya," kata vokalisnya, Moots.

Selain Moots, Pop Shuvit yang turut dianggotai oleh Rudy Malik (Rudy/drum), Nazrin Datuk Nasir (AJ/gitar bass), Jedidiah Wong (JD/gitar) dan Syazleey Zalsyam Zakaria (DJ Uno/Turntable), mempunyai sebuah lagi impian besar yang menjadi idaman mereka iaitu memenangi anugerah Grammy.

"Kalau boleh kami ingin memenangi anugerah Grammy, itulah impian terbesar kami semua. Tetapi kami semua sedar, bukan mudah untuk mencapai impian itu, jadi kami harus berusaha lagi supaya muzik dari Malaysia akan diterima dengan lebih meluas.


POP SHUVIT banyak berkolaborasi dalam album terbaharu mereka, termasuk dengan penyanyi Man Bai yang dianggap sebagai penyanyi legenda.


"Walaupun sukar tetapi kami semua tidak pernah berputus asa. Dulu masa mula-mula kami keluar, ramai juga yang kutuk dan tidak mahu dengar muzik kami tetapi berkat kesabaran, muzik kami semakin diterima," ujar Rudy sambil dipersetujui oleh ahli yang lain.

Cherry Blossom Love Affair

Bercerita lanjut mengenai album terbaharu berjudul Cherry Blossom Love Affair, selepas hampir lima tahun menyepi tanpa sebarang album, DJ Uno menjelaskan mereka tidak kisah mengambil masa yang lama untuk menghasilkan sebuah album asalkan hasilnya memuaskan hati.

Hasilnya terdapat album baharu mereka merupakan album dwi bahasa kerana memuatkan enam buah lagu Bahasa Melayu dan enam buah lagu Bahasa Inggeris.

"Memang hanya ada 12 lagu dalam album ini, tetapi kami perlu memerah idea untuk menggubah lebih daripada jumlah itu sebagai persediaan jika ada di antara lagu tersebut tidak mencapai piawaian yang dikehendaki.

"Jadi, walaupun kami hilang sebentar daripada dunia seni tempatan sebenarnya kami bukanlah berehat atau bercuti kerana kebanyakan masa dihabiskan semata-mata demi album," jelas JD mengenai album keenam Pop Shuvit itu lagi.

Menariknya dalam album itu turut dimuat beberapa buah lagu kolaborasi seperti Getting Away With a Murder dan Aci Aci Buka Pintu bersama Dina Nazir, Story Of A Lonely Girl bersama Dandee dan Big Bear, Hold On dan Marabahaya bersama Projek E.A.R serta Seperti Syurgamu bersama Man Bai.

"Idea untuk berkolaborasi itu timbul secara tidak sengaja dan hasilnya lagu-lagu itu memang sesuai untuk dinyanyikan bersama penyanyi-penyanyi yang kami pilih.

"Lagu Seperti Syurgamu, memang kami sengaja pilih Man Bai kerana dia memang terkenal dan vokalnya sesuai dengan lagu. Kemudian memang kami semua membesar dengan lagu-lagu nyanyiannya. Kiranya, satu penghormatan buat kami dapat berduet dengan seorang penyanyi yang boleh dianggap legenda sepertinya," tutur DJ Uno lagi.

Album mereka tidak hanya dipasarkan di Malaysia, sebaliknya ia turut dipasarkan secara serentak di Filipina, Singapura, Thailand dan Brunei.

Bagaimanapun, versi album baharu itu sedikit berbeza kerana ia memuatkan 10 buah lagu kesemuanya dalam Bahasa Inggeris.

"Kulit album semuanya sama, kecuali, lagu dalam album itu semuanya dalam Bahasa Inggeris. Selepas kami membuat persembahan di MTV World Stage 2011 tempoh hari, terdapat permintaan mengenai album baharu kami di Indonesia.


DARI KIRI: DJ Uno, JD, Rudy, AJ dan Moots bakal membawa nama Pop Shuvit ke Amerika Syarikat dan bertekad untuk memenangi Grammy Awards.


"Terdapat label di sana berminat untuk memasarkan album baharu kami di sana, jika semuanya berjalan lancar, peminat di Indonesia juga dapat menikmati album Cherry Blossom Love Affair," ucap Moots.

Moots berkahwin di Bali

Vokalis Pop Shuvit Moots atau nama sebenarnya Muralidharan Marimuthu bakal menamatkan zaman bujangnya pada bulan Oktober depan dengan tunangnya, Vanessa Chong yang merupakan seorang pengacara dan juga kakak kepada penyanyi Vince.

Mengakui teruja dengan gelaran suami yang bakal disandangnya, jelas Moots yang berusia 34 tahun itu kini mereka sibuk dengan persiapan akhir perkahwinan di samping jadual kerja yang padat.

"Nasib baik kami ada masa hampir setahun untuk membuat persediaan perkahwinan. Saya melamarnya tahun lalu di Maldives ketika bercuti bersama kakaknya Pamela, tetapi majlis pertunangan kami berlangsung pada awal Januari tahun ini.

"Setakat ini persiapan perkahwinan sudah hampir siap sepenuhnya, lagipun kami hanya tinggal sebulan sahaja lagi sebelum majlis berlangsung. Memang terlalu sibuk, pakaian kahwin pun belum cuba lagi," ujar Moots.

Apabila disoal lanjut mengenai Vanessa, Moots hanya tersenyum dan berkata mereka sudah kenal antara satu sama lain hampir empat tahun sebelum bercinta selama setahun dan kemudian bertunang.

"Dia seorang yang sangat rapat dengan saya, dia bukan sahaja kekasih tetapi juga teman rapat yang boleh berkongsi apa sahaja bersama. Itu membuatkan saya selesa bersamanya.

"Dia juga rapat dengan keluarga saya, itu yang paling penting dan saya juga diterima baik oleh keluarganya," tutur Moots lagi.

Majlis perkahwinan mereka bakal berlangsung di dua lokasi iaitu pada 9 Oktober di Kuala Lumpur sebelum terbang ke Bali untuk majlis resepsi di Bali.

"Kami memilih Bali kerana dalam banyak destinasi percutian, kami berdua sukakan Bali," luah Moots.