Rakyat Palestin bantah ucapan, kecam Obama

RAMALLAH, Wilayah Palestin - Penduduk Palestin yang berang dengan ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama keluar untuk menunjuk perasaan di jalan-jalan raya di sini dan bandar Gaza semalam.

Mereka berhimpun untuk membantah ucapan Obama yang dibuat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York kelmarin yang disifatkan sebagai memihak kepada Israel.

Lebih 1,000 penduduk Palestin yang membawa sepanduk mengecam Obama berhimpun di luar ibu pejabat Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas di sini sebelum berarak ke pusat bandar dengan melaungkan ungkapan: "Amerika tidak tahu malu kerana menyokong penjajahan (Israel)."

Di Bandar Gaza, sekitar 300 wanita berhimpun di luar ibu pejabat PBB dengan melaungkan slogan anti-Obama dengan mereka diawasi oleh pasukan keselamatan Hamas.

Ucapan Obama pada Perhimpunan Agung PBB di bandar raya New York, AS kelmarin menerima kecaman hebat daripada seluruh penduduk Palestin.

Dalam ucapannya, Presiden AS berkenaan mengulangi bantahan Washington terhadap usaha Palestin untuk menjadi sebuah negara merdeka sebagai anggota penuh PBB.

Obama turut bersimpati dengan perjuangan Israel di rantau Asia Barat tanpa menyentuh sedikit pun tentang penjajahan Israel ke atas Palestin atau pembinaan penempatan-penempatan haram Yahudi oleh rejim Zionis. - AFP