Pemuda ditemui lemas dalam tali air

27/09/2011 11:18pm

KANGAR Seorang pekerja kilang ditemui mati lemas di sebatang tali air di Kampung Behor Gelam, Jejawi dekat sini hari ini sebelum sempat menikmati gaji pertamanya.

Mohd. Nizam Othman, 22, yang berasal dari Kampung Ewa, Langkawi, dipercayai terjatuh ke dalam tali air itu bersama motosikal yang ditungganginya ketika melalui satu selekoh dan mayatnya ditemui kira-kira 11 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, DSP Ishak Baharum berkata, mayat pekerja kilang itu ditemui orang ramai 300 meter dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.

Beliau percaya motosikal yang ditungganginya mangsa terbabas ke dalam tali air itu ketika melalui satu selekoh, lalu dihanyutkan arus deras.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk dibedah siasat. Bernama