Buku idaman pada harga murah


NAUFAL ZAQUAN AZHAR, 3, sedang asyik melihat isi kandungan buku ketika ditemani oleh bapanya pada Ekspo Buku Big Bad Wolf bertempat di MAEPS, Serdang.


RUANG pameran Dewan A di Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS) minggu ini diserang satu acara yang tentu sekali mengujakan ulat-ulat buku. Acara tahunan yang dinamakan Big Bad Wolf iaitu jualan mega buku-buku dengan diskaun sehingga 95 peratus itu antara pameran dan jualan buku yang boleh menyebabkan pengunjung rambang mata mendapatkan bahan bacaan.

Berpuluh-puluh buku yang dipilih tetapi anda mungkin tidak akan percaya dengan jumlah bayarannya kelak kerana ia tidak pun sampai separuh pun harga asal buku-buku itu. Itu adalah keistimewaan dan tarikan utama acara jualan buku Big Bad Wolf.

Bertempat di ruang pameran seluas 8,361 meter persegi , ia dipenuhi dengan segala jenis buku termasuk buku paling laris, buku seni, buku koleksi dan set kotak yang diperoleh dari segenap pelosok dunia.

“Saya yakin acara jualan besar seperti ini boleh menghidupkan semula minat untuk membaca, belajar dan berkongsi pengetahuan,” kata pemilik bersama BookXxccess, penganjur acara jualan Big Bad Wolf, Andrew Yap.


BAHAN bacaan dijual pada harga yang murah dengan diskaun sehingga 95 peratus.


Kali keempat jualan acara Big Bad Wolf yang disifatkan sebagai jualan buku terbesar itu hampir menjadi satu misi yang mustahil untuk dianjurkan pihak penganjurnya. Ini kerana pihak penganjur mengakui terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran sebelum merealisasikannya.

Malahan, pihak penganjur juga teruja dengan sokongan pihak bank OCBC sebagai rakan kongsi Big Bad Wolf yang dijalankan bermula 7 hingga 16 Oktober ini.

Sebagai nilai tambah kepada kerjasama dengan OCBC, pemegang kad kredit bank tersebut akan mendapat potongan harga lima peratus lagi bagi semua buku yang dibeli semasa acara Big Bad Wolf.

Buku untuk anak yatim

Bukan itu sahaja, BookXxcess dan OCBC akan melancarkan program tanggungjawab sosial korporat yang dinamakan Red Readerhood dengan setiap pihak membeli dan mendermakan 1,000 buku kepada rumah anak yatim dan persatuan ibu tunggal. Orang ramai juga dipelawa menyertai program itu dengan membeli buku untuk didermakan.

“Kami ingin membolehkan kanak-kanak yang kurang bernasib baik mendapat manfaat daripada keseronokan membaca sambil menyemai minat dan tabiat membaca sejak dari kecil,” ujar Andrew.

Seramai 500,000 pelawat yang dijangka mengunjungi acara jualan Big Bad Wolf. Masuk adalah percuma dan pengunjung dinasihat membawa troli, kotak atau beg besar untuk memudahkan isian item pembelian.