Merokok di premis awam: 296 dikompaun

12/10/2011 5:34pm

PUTRAJAYA 12 Okt – Seramai 296 orang dikompaun dengan jumlah RM74,250 kerana merokok di dalam kawasan premis kerajaan melalui operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang diadakan oleh Kementerian Kesihatan selama tiga hari bermula 27 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata, sebanyak 849 premis kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri termasuk agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan diperiksa melalui operasi tersebut.

"Mana-mana orang yang tidak menjelaskan kompaun yang ditawarkan dalam tempoh yang diberi akan didakwa di mahkamah dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Hasan berkata, operasi khas besar-besaran itu dilakukan memandangkan kementerian menerima banyak aduan orang awam mengenai kesalahan merokok di premis kerajaan, walaupun aktiviti penguatkuasaan larangan merokok dijalankan secara rutin.

Beliau berkata, premis kerajaan diwartakan sebagai tempat larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau sejak 2004, dan kawasan larangan merokok tersebut merangkumi keseluruhan kawasan di dalam kepungan pagar atau sempadan tanah bangunan pejabat kerajaan tersebut. – Bernama