Jolie lawat Libya

ANGELINA JOLIE melawat seorang penduduk yang cedera di sebuah hospital di Misrata, Libya kelmarin.


MISRATA, Libya - Aktres dan Duta Muhibah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Angelina Jolie semalam memuji penglibatan luar biasa rakyat Libya dalam perjuangan revolusi di tanah air mereka.

Aktres berusia 36 tahun yang popular menerusi filem pecah panggung seperti Tomb Raider dan Mr. & Mrs. Smith itu melawat bandar ini selepas tiba di Libya kelmarin.

Sebahagian penduduk Libya yang menjadi pejuang menawan bandar ini selepas pertempuran sengit selama beberapa minggu dalam kemaraan mereka untuk menggulingkan pemerintah Libya, Muammar Gaddafi pada awal tahun ini.

Bercakap di lobi sebuah hotel di bandar ini, Jolie memuji pembabitan luar biasa orang awam dalam perjuangan dan pihak berkuasa peralihan yang berusaha untuk membentuk Libya menjadi sebuah negara yang baharu.

"Ramai pejuang prorevolusi sama ada anggota tentera mahupun orang awam mengalami kecederaan malah ramai yang turut kehilangan anggota badan tetapi mereka terus berjuang demi masa depan negara dan masa depan anak-anak mereka. Perjuangan mereka luar biasa dan amat menyentuh hati," kata Jolie.

Jolie kemudian menaiki sebuah kenderaan utiliti untuk meninggalkan hotel berkenaan dengan diiringi kumpulan pengawal bersenjata menuju ke ibu negara Libya, Tripoli.

Rejim Gaddafi tumbang pada Ogos lalu. Gaddafi kini bersembunyi selepas diburu oleh para pejuang yang menentang kepimpinannya sejak Februari lalu. - Agensi