Safiq tidak tumpu kasut emas


SAFIQ (kanan) hanya mahu memberi tumpuan membantu Selangor layak ke separuh akhir Piala Malaysia.


DUA gol cantik hasil sepakan percuma arkitek berbakat Selangor, Safiq Rahim ketika membenam cabaran Perak 3-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, Isnin lalu masih segar dalam ingatan peminat fanatik sku- ad Gergasi Merah itu.

Bagaikan ‘Cristiano Ronaldo Malaysia’, Safiq juga berjaya menghasilkan gol yang lebih kurang sama bersama pasukan kebangsaan ketika aksi persahabatan menentang Liverpool dalam Pra-Jelajah Asia sebelum ini.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya bekas kapten Harimau Malaya itu dijangka tetap menjadi pilihan utama jurulatih Selangor, P. Maniam dalam usaha memastikan Seladang berputih mata di gelanggang sendiri malam ini.

Berjaya mengumpul koleksi peri- badi sebanyak tiga gol dalam edisi Piala Malaysia setakat ini juga meletakkan Safiq di landasan tepat memburu ‘kasut emas’ edisi Piala Malaysia lantaran penyerang Kedah, Kyril Mhymeen Zambri dilihat terpaksa berpuas hati dengan enam gol sahaja setelah pasukannya ditunjukkan jalan keluar di peringkat kumpulan sebelum ini.

Kredibiliti penyerang ‘import’ Perak, Mohd. Failee Ghazli yang telah pun menjaringkan lima gol setakat ini juga harus dijadikan pembakar semangat buat Safiq bagi membuktikan dia masih antara ‘permata’ terbaik skuad Harimau Malaya meskipun ‘tercicir’ pada aksi persaha- batan menentang Australia baru-baru ini.

Begitupun, Safiq enggan memikirkan misi peribadi muncul penjaring terbanyak Gergasi Merah, sebaliknya merasakan ia adalah hasil kerjasama kesemua pemain Selangor yang bermain sebagai satu pasukan.

“Saya tetap Safiq Rahim seperti mana yang semua orang kenal (bukannya Cristiano Ronaldo).

“Sesiapa pun boleh menjaringkan gol, tambahan Selangor memiliki ramai pemain yang berupaya bertindak sedemikian, cuma mungkin rezeki lebih memihak kepada saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Apa yang pasti, kelibat Safiq bersama gandingan Amri Yahyah dan Amirulhadi Zainal pastinya akan dirantai habis-habisan oleh benteng pertahanan Perak malam ini.

Sudah tentu benteng pertahanan Perak juga tidak begitu mudah mahu ‘menghadiahkan’ sepakan percuma berhampiran kotak penalti kepada Gergasi Merah jika tidak mahu menanggung ‘azab’ sepakan percuma Safiq.

“Anugerah ‘kasut emas’ edisi Piala Malaysia juga tidak saya fikirkan sangat, asalkan dapat membantu Selangor menjulang piala buat kali ke-33 pun saya sudah puas hati.

“Malah, saya juga tidak kisah jika dikawal ketat esok (malam ini) kerana ia boleh memberi peluang kepada rakan sepasukan lain untuk menjaringkan gol awal, sekali gus memberikan tekanan kepada Perak,” katanya yang bertolak ke Ipoh bersama rakan-rakan sepasukan petang semalam.