Tujahan kuasa Myvi 1.5 manual


MYVI mempunyai pakej lengkap yang membuatkannya terus popular.


KALAU dilihat pada trend pasaran tempatan, tidak mustahil suatu hari nanti kereta bertransmisi manual akan pupus di Malaysia. Pemandu di negara ini nampaknya sudah tidak rajin lagi menekan klac dengan kerap, lebih-lebih lagi ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Lenguh kaki, kata mereka.

Justeru, memandu kereta manual seakan-akan sudah tidak relevan lagi. Sehinggakan ada cadangan supaya ujian memandu menggunakan kereta bertransmisi automatik sahaja.

Kalau ia dilaksanakan sepenuhnya, banyak perkara yang tidak perlu dibimbangkan oleh mereka yang bakal menjalani ujian memandu. Terutama ketika hendak mengerakkan kereta di laluan berbukit. Tidak perlu lagi sibuk-sibuk berlatih mengimbangi klac dan pedal minyak.

Bagi saya, keadaan itu satu perubahan yang terpaksa diterima. Lagi pun, cuba kira berapa ramai yang membeli kereta manual selepas lulus ujian memandu. Daripada sepuluh orang, seorang daripada mereka pun belum tentu memilih untuk membeli kereta manual.

Biarpun begitu, masih ada pengeluar yang menawarkan kenderaan bertransmisi sebegitu kepada orang ramai. Pengeluar-pengeluar ini percaya, permintaannya masih ada (terutama di kawasan luar bandar) walaupun jumlahnya tidaklah sebesar mana. Saya sendiri yakin, masih ada yang tahu menghargai keseronokan memandu sebuah jentera bertransmisi manual.

Sebab itulah apabila Perodua memberitahu ada model Myvi terbaharu untuk dipandu uji, saya tidak berfikir panjang. Varian transimisi manual pantas dipilih, walaupun ada model transmisi automatik yang boleh dipandu uji.


MODEL ini menerima banyak penambahbaikan berbanding Myvi generasi sebelumnya.


Sekali-sekala, layan juga kereta sebegini. Bukan apa, saya mahu tahu sejauh mana enjin bersesaran 1.5 liter itu memberi reaksi apabila digabungkan dengan transmisi lima kelajuan tersebut. Apatah lagi, inilah kali pertama Perodua menyatakan tempoh masa yang boleh dicapai dari titik pegun hingga 100 kilometer sejam (km/J) untuk kereta yang dijualnya. Jadi, ini bukan main-main. Mesti laju dan penuh kuasa.

Menggunakan enjin sama yang ada pada model MPV pertama Perodua iaitu Alza, memang tidak dapat dinafikan ia mampu menawarkan pecutan dan hantaran kuasa serta tork dengan lancar. Henjutan kuasanya dapat dirasa dengan ketara.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa apa yang ada pada Myvi ini serba-serbi ringan, terutama sterengnya. Memang memudahkan pemandu untuk memarkir kenderaan. Tetapi boleh membuatkan pemandu jadi kurang yakin jika memandu laju di lebuh raya atau mengambil selekoh. Tubuh Myvi juga berasa lebih ringan dan tidak malas berbanding Alza.

Klacnya pula lembut untuk ditekan sebelum gear ditukar. Jadi, kalau terpaksa memandu dalam kesesakan, kaki anda tidaklah terlalu penat. Pendek kata, ia memang sebuah kereta bandar yang bagus dan seronok untuk dipandu.

Berada di dalam kabinnya, anda dihidangkan dengan rekaan papan pemuka yang ringkas. Saya boleh terima plastik hitam yang digunakan kerana ia tidak nampak murah.

Sistem audio binaan dalamnya juga kemas dengan butang-butang yang tidak menonjol keluar. Sementara tiga dial kawalan pendingin hawanya pula mudah dicapai dan dioperasi. Stereng yang dibalut kulit itu juga sedap dipegang.


PAPAN pemuka Myvi menggunakan plastik berkualiti tinggi.


Untuk varian manual, anda akan mendapat satu lagi ruang ektra untuk meletak barang-barang kecil. Menjadi ruang untuk tuil gear kepada model transmisi automatik, kedudukannya bagaimanapun menegak dan agak sukar untuk memastikan barang yang diletakkan di dalamnya tidak terjatuh sewaktu anda membrek atau sebagainya.

Melihat luarannya, Myvi itu menyerlah menerusi warna kuning yang terang-benderang. Walaupun kuning bukanlah warna kegemaran, saya mengakui bahawa warna tersebut memang kena dengan Myvi.

Bagi membuatkannya nampak lebih sporty berbanding Myvi biasa, jentera itu dipasang dengan bampar hadapan rekaan baharu, sepasang lampu kabus, skirting sisi dan spoiler belakang. Tidak cukup, ia turut dilengkapi dengan 'air diffuser' berwarna hitam pada bahagian bawah bampar belakangnya.

Apa pun, Myvi dilihat mampu mengekalkan popularitinya dalam kalangan pengguna di Malaysia. Katalah macam mana sekali pun, orang ramai masih berminat untuk memiliki Myvi. Buat sekian kalinya, jalan raya kita akan terus dipenuhi dengan model ini. Jemu? Itu kan pilihan peribadi.