Terengganu, T-Team congak peluang

Kapten T-Team, Rosdi Talib (kiri), Kapten Terengganu, Marzuki Yusof


DEBARAN pentas separuh akhir Piala Malaysia 2011 kian terasa dengan empat pasukan - Terengganu, T-Team, Selangor dan Negeri Sembilan mula mencongak strategi dalam misi memburu dua slot ke perlawanan akhir pada 29 Oktober ini.

Atas kertas, keempat-empat pasukan memiliki peluang seimbang untuk berada di pentas final dengan Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu pernah memiliki rekod bergelar juara.

Bagaimanapun, kehadiran T-Team, pasukan berstatus kelab dari Kuala Terengganu mencetuskan ramalan baharu mengenai kemungkinan dua pasukan dari Terengganu bakal bertemu sesama sendiri di pentas final.

T-Team yang dibimbing Yunus Alif akan menentang finalis tahun lalu, Negeri Sembilan dalam aksi separuh akhir, sementara juara Piala FA, Terengganu menghitung pertemuan dengan juara 32 kali, Selangor.

Apa yang pasti, kapten T-Team, Rosdi Talib dan kapten Terengganu, Marzuki Yusof mempunyai pendirian sama dengan menganggap hanya pasukan terbaik yang layak berada di pentas final Piala Malaysia musim ini.

Secara kebetulan, Rosdi dan Marzuki merupakan bekas pemain skuad emas Terengganu 2001 yang pernah menjulang Piala Malaysia sepuluh tahun lalu.

Ibarat 'perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan', kedua-dua pemain berpengalaman itu kini menyimpan misi besar - membawa kedua-dua pasukan dari Pantai Timur itu ke pentas final.

Menurut Rosdi yang juga bekas kapten kebangsaan, kejayaan T-Team melangkah ke separuh akhir merupakan satu pencapaian membanggakan bagi sebuah pasukan berstatus kelab.

Katanya, kejayaan itu hadir hasil kerja keras para pemain dan jurulatih serta pengurusan yang menyimpan tekad untuk menjulang nama T-Team di persada bola sepak Malaysia.

“Kami gagal beraksi dengan baik dalam kempen Liga Super dan begitu juga saingan Piala FA.

“Namun, pengalaman lalu banyak mengajar kami dan kini T-Team merupakan sebuah pasukan yang matang dan cukup kental,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Tonggak pertahanan berusia 35 tahun itu juga menyifatkan pelaburan pasukan dengan membawa nama-nama besar seperti Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Mohammad dan Azizi Mat Rose dari Kelantan selain menyunting Zairo Anuar Zailani dari Terengganu benar-benar membawa hasil.

“Kekuatan kami adalah kepada corak serangan kerana memang terbukti T-Team merupakan pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Namun, kami tetap menghormati Negeri Sembilan kerana pasukan itu memiliki rekod cemerlang di pentas Piala Malaysia sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya.

Sementara itu, Marzuki yang turut beraksi di posisi pertahanan mengakui begitu mengidamkan pentas final Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2001.

“Semua pemain pastinya mahu beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia kerana ia merupakan kejohanan paling berprestij di negara ini.

“Tapi kami tidak boleh terlalu mengharap kerana kami perlu melalui dua aksi separuh akhir menentang Selangor yang dianggap cukup mencabar,” kata kapten berusia 30 tahun itu.

Secara peribadi, baik Rosdi mahupun Marzuki, mereka tetap menyimpan hajat untuk menyaksikan dua pasukan dari Terengganu beraksi sesama sendiri pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, 29 Oktober ini.