Dua parah jatuh bangunan

20/10/2011 7:55pm

KUALA LUMPUR Dua pencuci tingkap warga asing nyaris maut selepas terjatuh semasa sedang bekerja di tingkat lima sebuah bangunan di Jalan Kia Peng, di sini hari ini.

Bagaimanapun podium di tingkat tiga bangunan berkenaan telah menyelamatkan pekerja asing Indonesia dan Bangladesh berusia dalam lingkungan 20-an itu, kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail.

"Kejadian berlaku kira-kira 2 petang apabila dua pekerja itu melakukan kerja-kerja pembersihan tingkap luar dengan menaiki gondola di bangunan 32 tingkat itu.

"Bagaimanapun, tali gondola itu putus menyebabkan mereka terjatuh di atas podium pada tingkat tiga, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dapat dibawa turun oleh anggota Bomba dengan dibantu orang awam kira-kira setengah jam kemudian.

Azizan berkata, mereka cedera parah termasuk patah kaki dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Dalam kejadian itu, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba Hang Tuah dan 14 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kira-kira 2.18 petang. Bernama