Pemilik rumah berang harga rumah jatuh di Shanghai


JUALAN hartanah di China jatuh sebanyak 10 peratus, sekali gus menyebabkan para pemaju memotong harga bagi menaikkan semula kadar jualan mereka.- Reuters


SHANGHAI - Beratus-ratus pembeli rumah yang marah mengadakan protes di ibu kota komersial China, di sini pada minggu ini kerana membantah kejatuhan harga hartanah milik mereka, lapor media pemerintah semalam.Terjejas akibat kemerosotan permintaan dan kekurangan dana, para pemaju bertindak memotong harga beberapa projek perumahan baru di bandar raya ini hingga 20 peratus.

Akhbar tempatan, China Business News melaporkan tindakan pemaju-pemaju itu mencetuskan kemarahan mereka yang membeli rumah-rumah serupa pada harga lebih tinggi.

Beberapa penganalisis memberitahu, siri protes itu yang adakalanya bertukar ganas, merupakan isyarat bahawa langkah-langkah pemerintah untuk memperlahankan kenaikan dalam pasaran hartanah di bandar-bandar utama China adalah berkesan.

Dalam insiden terbaru kelmarin, kira-kira 200 pemilik rumah menyerbu pejabat jualan sebuah projek perumahan yang dibangunkan oleh Greenland Group dan menuntut wang mereka dikembalikan.

"Kami mahu wang kami dipulangkan kerana kerugian yang kami alami terlalu besar," kata seorang penunjuk perasaan.

Dia mendakwa telah membayar AS$2,678 (RM8,327) untuk setiap meter persegi kediamannya pada tahun lalu. Tetapi pemaju kini memotong harga kediaman sama sebanyak 30 peratus untuk menggalakkan jualan.

Mengulas isu berkenaan, seorang penganalisis tempatan, Su Yan berkata pemaju terpaksa bertindak demikian kerana masalah dana.

"Para pemaju kini tertekan dan terpaksa mengurangkan harga hartanah," katanya. - AFP