Tiga blok kilang polistirena terselamat

01/11/2011 7:56pm

KUALA LUMPUR Tindakan pantas anggota bomba telah menyelamatkan tiga blok bangunan sebuah kilang polistirena di Taman Sains Kota Damansara di sini daripada terbakar.

Bagaimanapun, kebakaran tengah hari itu memusnahkan sebuah blok daripada deretan empat blok bangunan di kilang berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, hasil panggilan daripada orang awam pada 12.26 tengah hari, 17 anggota bersama tiga pegawai dari Sungai Buloh dan Damansara dapat mengawal kebakaran dalam masa tidak sampai 20 minit.

"Ketika kebakaran, sekurang-kurangnya 30 pekerja berada di dalam kilang itu tetapi mereka sempat menyelamatkan diri, katanya.

Mohamad Sani berkata, punca kebakaran masih disiasat. Bernama