Dua hari satu malam yang sempurna



CUTI hujung minggu merupakan hari yang ditunggu-tunggu bagi mereka yang mahu berlibur atau bersantai bersama teman-teman atau keluarga tersayang. Tidak hairanlah, saban minggu kebanyakan destinasi percutian di negara ini sentiasa dilimpahi pengunjung yang dambakan keseronokan berlibur.

Bagi yang menggemari keindahan alam semula jadi, pastinya mengimpikan suasana percutian indah dengan ditemani deruan ombak yang mampu mendamaikan jiwa.

Tapi dengan cuti hujung minggu hanya dua hari sudah tentunya bagi warga ibu kota, lokasi percutian tersebut haruslah di sekitar radius Lembah Klang. Port Dickson mungkin salah satu destinasi yang sering menjadi pilihan warga kota bagi memenuhi keinginan itu kerana pemanduan dengan berkereta hanya mengambil masa satu jam setengah perjalanan.

Namun, jika ingin pembaharuan dan suasana percutian tepi laut yang menarik dan tidak kurang hebatnya, pantai Bagan Lalang adalah jawapannya.

Terletak di daerah Sepang, pantai yang berlatarbelakangkan Selat Melaka itu hanya memakan masa 45 minit dari Kuala Lumpur.

Melihat panorama desa yang menghiasi kiri dan kanan laluan membuatkan perjalanan sejauh hampir 100 kilometer (km) itu tidak begitu dirasakan.

Kerepek Ketemu Rezeki

Sebelum menghampiri pantai, jangan lupa singgah ke pusat jualan kerepek Ketemu Rezeki yang terletak berhampiran.

Menawarkan aneka kerepek berasaskan pisang, ubi, keledek serta kuih-kuih tradisional, ia dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 7.30 malam.

Pengurus operasinya, Siti Nurbaizura Mohamad Nasir berkata, perniagaan yang berusia lebih 27 tahun itu diwarisi daripada keluarganya.

“Sejak beroperasi kira-kira tiga tahun yang lalu, kerepek kami menerima sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pengunjung tempatan termasuk dari luar negara,” katanya yang memberitahu kesemua kerepek itu diproses di kilang yang terletak di Sungai Pelek, Selangor.


HOTEL Seri Malaysia Bagan Lalang menawarkan penginapan selesa bertaraf dua bintang.


Secara puratanya, Siti Nurbaizura memberitahu, dia mampu menjual sehingga 50 kilogram bagi setiap jenis kerepek bergantung permintaan.

“Setiap kerepek dijual pada harga RM4 sebungkus atau RM10 bagi tiga bungkus. Kebanyakan pelanggan kami merupakan penduduk setempat, pengunjung serta pelancong asing yang bercuti di negara ini.

“Selain menerima tempahan pada musim-musim perayaan, kami juga memasarkan kerepek di seluruh negara termasuk mengeksport sehingga ke Australia dan United Kingdom,” katanya.

Puas membeli kerepek, hati seakan-akan tidak sabar untuk melihat keindahan pantai Bagan Lalang dengan lebih dekat.

Bagi yang membawa anak-anak kecil, mandi-manda beramai-ramai pasti menyeronokkan. Deruan ombak yang menghempas pantai menggamit sesiapa sahaja untuk berendam dalam masin air laut.

Pokok-pokok rhu yang tumbuh merimbun di sepanjang pantai memberi suasana redup di sekitarnya. Tidak hairanlah, ia menjadi tumpuan pengunjung berkelah dan berkhemah bersama keluarga.

Kawasan pantainya lengkap dengan pelbagai kemudahan asas seperti laluan pejalan kaki, tempat meletak kenderaan, tandas awam, surau, taman permainan dan medan selera.

Biarpun, aktiviti airnya tidak semeriah Port Dickson atau Batu Ferringhi, namun tidak bermakna aktiviti pengunjung terhad sekadar bermandi-manda sahaja.

Pengunjung bebas melakukan pelbagai aktiviti seperti bermain layang-layang, bola tampar atau berbasikal di sekelilingnya.

Bagi yang meminati produk kraf tangan, kunjungan ke gerai Amran Shahari, 43, pastinya tidak sia-sia.

Beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam pada setiap Sabtu dan Ahad, ia menawarkan pilihan produk kraf tangan berasaskan buluh, rotan dan mengkuang antaranya ialah kerusi, tudung saji, baku dan tikar.

Amran berkata, dia memperoleh kesemua kraf tangan itu dari beberapa negeri seperti Selangor, Perak dan Pahang.

Idea mengusahakan gerai itu akuinya, semata-mata untuk memartabatkan kraf tangan tempatan.

“Kebanyakan barang-barang yang terdapat di gerai ini adalah buatan tangan dan memerlukan ketelitian yang tinggi bagi menghasilkan kraf ini.

“Selain pengunjung tempatan, gerai ini juga sering dikunjungi pelancong asing yang mahu menjadikannya sebagai perhiasan rumah dan dibawa pulang sebagai kenang-kenangan,” katanya.


BARBEKU di tepi pantai antara aktiviti yang menyeronokkan bersama teman-teman.


Selepas puas beriadah dan beraktiviti sepanjang hari, pasti perut berasa lapar. Usah gundah kerana di Bagan Lalang anda pasti pulang kekenyangan.

Syurga makanan laut

Salah satu gerai makanan laut yang wajib dicuba ialah HM Sri Bagan yang terletak berhampiran jeti nelayan. Menawarkan konsep restoran terapung, ia mampu memuatkan 360 pelanggan pada satu-satu masa.

Pengurusnya, Mohd. Hafizi Hashim berkata, selain menjamu selera pengunjung berpeluang menikmati panorama matahari terbenam yang indah dan menakjubkan.

Katanya, setiap minggu dia mampu menjual sehingga satu tan makanan laut yang diperolehnya daripada nelayan dan peraih di sekitar Bagan Lalang, Tanjung Sepat, Pulau Ketam dan sebagainya.

Ujarnya, keunikan Bagan Lalang sebagai gastronomi makanan laut terletak kepada variasi hidangan eksotik seperti pepahat, kepah dan lokan yang jarang-jarang dijumpai di tempat lain.

Menceritakan sejarah perniagaannya, Mohd. Hafizi berkata ia bermula dari sebuah restoran kecil yang dibuka oleh arwah bapanya di tapak itu pada tahun 1993.

“Rata-rata pelanggannya merupakan penduduk setempat, ketika itu tiada siapa mengenali Bagan Lalang, sudahlah jauh terpencil, landskap juga hanya dipenuhi pokok-pokok rhu dan bakau.

“Bagaimanapun, pembinaan KLIA, Putrajaya dan Sepang Gold Coast mengubah segalanya. Pantai ini semakin popular dan dipenuhi pengunjung saban minggu yang mahu bersantai sambil menikmati makanan laut segar,” katanya.

Sementara itu, bagi mereka yang bercadang untuk tidur satu malam di sana, Hotel Seri Malaysia Bagan Lalang mungkin sesuai dijadikan pilihan.

Beroperasi sejak 1995, hotel bertaraf dua bintang itu menawarkan 100 bilik deluxe famili yang mampu memuatkan tiga orang.

Jika mengimpikan percutian mewah, Golden Palm Tree Iconic Resort & Spa adalah jawapannya.

Menawarkan 399 vila terapung disusun menyerupai bentuk pokok palma, pengunjung boleh memilih untuk menginap di empat jenis penginapan eksklusif iaitu Travelers Palm Villa, Canary Palm Villa , Ivory Palm Villa serta Royale Palm Villa.


MENIKMATI panorama matahari terbenam di tepi pantai memberi pengalaman mengasyikkan.


Sementara itu, seorang pengunjung, Ahmad Fitri Ahmad Basri berkata, biarpun baru pertama kali berkunjung ke situ, dia mengakui sudah terpesona dengan keindahan dan pelbagai tarikan yang ditawarkan di sekelilingnya.

Ujar lelaki yang menetap di USJ, Subang Jaya itu, pantai Bagan Lalang juga tidak kurang hebatnya seperti pusat-pusat peranginan lain di Malaysia.

“Apa yang penting kawasan pantai dan sekitarnya masih kekal terpelihara tanpa pembangunan yang berlebihan.

“Saya menikmati pengalaman yang menyeronokkan di sini. Cuacanya juga tidak begitu terik. Ia sesuai dijadikan tempat percutian keluarga,” kata kakitangan Tenaga Nasional Berhad itu.