Kim Swee temui semula formula paling ampuh




JAKARTA - Percaturan menjadi!

Mungkin itu yang berlegar di fikiran jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Ong Kim Swee (gambar) tatkala barisan kendaliannya mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Thailand pada aksi kedua peringkat Kumpulan A pada Sukan SEA 2011 di Stadium Gelora Bung Karno semalam.

Tampil selaku penyandang juara, skuad Harimau Muda mula membuktikan betapa mereka memiliki kualiti untuk sekali lagi ditabalkan selaku juara pada temasya kali ini.

Selepas diikat seri tanpa jaringan dengan Singapura pada aksi pembukaan Isnin lalu, Kim Swee seakan-akan sudah mempunyai formula paling ampuh bagi memerangkap Thailand dan meraih tiga mata berharga.

Berbeza dengan formasi yang digunakan ketika berdepan Singapura, kali ini Kim Swee benar-benar mahu menguatkan jentera tengah Harimau Muda dengan diketuai kapten Baddrol Bakhtiar sambil dibantu Irfan Fazail dan pemain tengah berusia 17 tahun, Muhd. Nazmi Faiz Mansor.

Syahrul Azwari Ibrahim pula menerajui jentera serangan, manakala Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan Mohd. Fandi Othman sering bertukar posisi di sayap kiri dan kanan.

Seperti dijangka, Kim Swee terus menyandarkan harapan kepada empat benteng pertahanan dengan ditunjangi Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Asraruddin Putra Omar dan Mahali Jasuli sementara Khairul Fahmi Che Mat 'kebal' di posisi penjaga gol.

Dengan meletakkan dua penyerang, Izzaq Faris Ramlan dan Ahmad Fakri Saarani di bangku simpanan sebelum mereka masuk pada babak kedua, ternyata percaturan Kim Swee menjadi.

Jaringan pembukaan Baddrol pada minit ke-25 sebelum Izzaq meledak gol kemenangan pada penghujung babak kedua sudah memadai buat Harimau Muda membenam ego Thailand.

Pada sidang media sejurus perlawanan berakhir, Kim Swee berkata, anak-anak buahnya telah menampilkan sikap positif sepanjang 90 minit permainan.

"Para pemain negara telah menunjukkan keupayaan sebenar mereka, berbeza dengan aksi ketika menentang Singapura sebelum ini.

"Mereka beraksi tanpa sebarang tekanan dan bergerak sebagai satu pasukan. Walaupun Thailand berjaya menyumbat gol penyamaan, para pemain menunjukkan sikap positif sehingga memperoleh gol kemenangan."

"Apa yang saya lihat, Thailand menghadapi masalah yang sama dengan Malaysia apabila mengharungi perlawanan pertama.

"Namun pada masa yang sama, Malaysia bermain baik pada perlawanan hari ini (semalam). Para pemain saya telah menunjukkan karakter yang baik untuk mencari kemenangan," tambahnya.

Dalam pada itu, Kim Swee menghamburkan pujian kepada Muhd. Nazmi yang menampilkan mutu permainan terbaik.

"Saya bangga melihat prestasi Nazmi. Dia baru berusia 17 tahun tetapi dia bermain dengan cemerlang. Ini cukup baik untuk skuad negara pada masa hadapan."

Kenyataan Kim Swee itu ada benarnya kerana Muhd. Nazmi dilihat mampu mencorak permainan Harimau Muda dengan baik walaupun dia muncul sebagai pemain paling muda di tengah padang.

Ditanya kecederaan yang menimpa Muhd. Nazmi sehingga menyebabkan dia terpaksa dikeluarkan pada akhir babak kedua, Kim Swee menjawab: "Buat masa ini, saya masih menunggu laporan doktor tetapi saya percaya kecederaannya tidak serius."

Dengan kemenangan bermakna semalam, kini peluang skuad negara mengesahkan slot separuh akhir kembali terbuka luas.

Bagaimanapun, mereka perlu mengelak daripada kehilangan mata berharga apabila menentang Kemboja pada 13 November sebelum membuat perhitungan dengan Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan A empat hari kemudian.