Skuad karate capai sasaran MSN


ATLET karate negara, dari kiri Teagarajan, Loganesha, Yamani dan Shaharudin bersama pingat emas yang mereka menangi di Jakarta semalam.


JAKARTA - Skuad karate negara berjaya mencapai sasaran Majlis Sukan Negara (MSN) apabila menyumbang empat pingat emas pada temasya Sukan SEA 2011 di Stadium Tenis Tertutup Senayan semalam.

Selepas Shaharudin Jamaludin menyumbang pingat emas pertama dalam kategori kumite bawah 75 kilogram lelaki pada saingan sebelah pagi, tiga lagi emas berjaya dituai skuad karate negara dalam aksi sebelah petang.

Loganesha Rao menghadiahkan emas dalam kategori kumite bawah 55 kilogram lelaki, K. Teagarajan (kumite bawah 84kg lelaki), manakala G. Yamani menepati ramalan bagi saingan kumite bawah 61kg wanita.

Mengulas tambahan tiga lagi pingat emas pada saingan sesi petang, pengurus skuad karate negara, Mohd. Azmi Ariffin berkata, dua faktor yang mencetuskan kecemerlangan anak-anak buahnya itu.

"Pertama, atlet karate beraksi cemerlang selepas mendapat suntikan semangat hasil daripada kejayaan emas pertama acara ini yang dihasilkan oleh Shaharuddin pada sebelah pagi.

"Keduanya, ia mungkin disebabkan permulaan hambar atau tidak mencapai sasaran setelah peserta yang diletakkan harapan tinggi untuk memenangi emas pertama kontinjen Malaysia, Jamalliah Jamaludin gagal berbuat demikian semalam (kelmarin).

"Secara keseluruhannya, empat pingat emas yang diraih skuad karate hari ini (semalam) amat menggembirakan semua skuad karate negara," kata Azmi semalam.

Koleksi empat emas yang dimenangi setakat ini pastinya meredakan tekanan kepada skuad karate yang menyasarkan enam emas pada temasya Sukan SEA kali ini.

"Kita harapkan ada tambahan pingat dalam dua acara yang akan kami sertai esok (hari ini) iaitu kumite berpasukan lelaki dan wanita," katanya.