India malukan Malaysia


PEMAIN India Chetri (tengah) mengawal bola sambil disaksikan pemain Malaysia Mohd. Faizal (kiri) dan Mohd. Bunyamin di Kolkata, India kelmarin. - AFP


APA sudah jadi Harimau Malaya? Badi tewas di gelanggang lawan bagi aksi persahabatan antarabangsa dilihat berterusan apabila tumpas 2-3 kepada India dalam aksi persahabatan kedua di Stadium Salt Lake, Kolkata malam kelmarin.

Meskipun berada di ranking FIFA yang jauh lebih baik daripada tuan rumah, anak buah Datuk K. Rajagobal begitupun terpaksa akur dengan kehebatan India yang memenangi perlawanan itu menerusi dua jaringan Sunil Chetri (minit ke-41 dan ke-53) dan Jeje Lalpekhlua pada minit ke-47.

Sementara dua gol saguhati Malaysia pulang dijaringkan oleh penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali pada minit ke-45 dan ke-60.

Kedua-dua pasukan sebelum ini seri 1-1 pada pertemuan persahabatan pertama di Guhawati Ahad lalu.

Dengan kekalahan itu, tidak mustahil misi pasukan negara yang sebelum ini mahu menjadikan perlawanan persahabatan kali ini bagi memperbaiki ranking FIFA setelah menghuni tangga ke-151 barangkali ‘makan tuan’ berdasarkan ranking India yang jauh lebih rendah iaitu ke-160.

Ranking terbaharu FIFA akan dikeluarkan badan induk itu pada 23 November depan.

Begitupun, masih terlalu awal untuk menghukum skuad bola sepak kebangsaan memandangkan Rajagobal dilihat banyak menurunkan muka-muka baharu termasuk pemain sayap Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah dan penjaga gol baharu Selangor, G. Jeevananthan untuk diuji dalam perlawanan itu.

Ketiadaan kapten, Norhafiz Zamani Misbah yang tidak diturunkan malam kelmarin gara-gara kecederaan juga memberi kesan terhadap benteng pertahanan negara yang dilihat gagal menyerap asakan bertali-arus tuan rumah.

India yang terlebih dahulu meledak gol pendahuluan menerusi Chetri begitupun tidak diberikan laluan mudah oleh pasukan negara yang menyamakan kedudukan empat minit kemudian apabila Safee yang tidak dikawal mudah menyempurnakan hantaran Shahurain.

Namun, dua gol pantas dalam tempoh lima minit oleh Chetri dan Lalpekhlua sebaik babak kedua bersambung ternyata merentap semangat juang Harimau Malaya sehingga memaksa Jeevananthan dikeluarkan untuk digantikan dengan Sharbinee Alawi.

Malaysia yang masih tidak berputus asa berjaya merapatkan kedudukan apabila Safee bijak memanfaatkan hantaran jauh Safiq Rahim sebelum membuat rembatan deras melepasi jangkauan penjaga gol India, Roy Chowdry pada minit ke-60.

Peluang terbaik pasukan pelawat menyamakan kedudukan hadir kira-kira 10 minit terakhir permainan apabila penyerang gantian, Khyril Muhymeen Zambri yang berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan tuan rumah begitupun hampa apabila rembatannya berjaya ditepis oleh Chowdry.

Kekalahan memilukan itu pastinya menambah duka skuad kebangsaan yang masih gagal memenangi perlawanan antarabangsa berstatus A di gelanggang lawan sejak April 2009.