Mayat mereput dalam semak


ANGGOTA polis mengusung mayat lelaki yang ditemui dalam semak di Presint 11, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Seorang pemandu jengkaut tidak menyangka kehadiran dua ekor ayam hutan yang cantik di kawasan belukar berhampiran landasan Express Rail Link (ERL) di Presint 11 di sini semalam membongkar penemuan mayat seorang lelaki di dalam semak di kawasan itu.

Ketika ditemui pada pukul 9.30 pagi, mayat yang lengkap berpakaian termasuk memakai jaket itu ditemui dalam keadaan hampir reput dan dipercayai telah mati sejak dua hingga tiga minggu lalu. Si mati tidak memakai kasut.

Sepasukan anggota forensik yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian bagaimanapun tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa.

Seorang pemandu jengkaut warga Indonesia dikenali sebagai Yan dikatakan pergi ke kawasan semak itu untuk melakukan kerja-kerja menyelenggara landasan ERL tetapi dia tersalah lokasi.

"Semasa pekerja asing itu berada di kawasan tersebut, dia ternampak dua ekor ayam hutan cantik dan cuba menangkap haiwan itu.

"Lelaki itu mengejar ayam itu hingga memasuki kawasan semak sebelum ternampak mayat berulat yang berbau busuk," kata sumber itu semalam.

Pemandu jengkaut yang panik itu terus menghubungi penyelianya sebelum memaklumkan penemuan tersebut kepada polis.

Jarak jalan besar ke kawasan semak lokasi mayat ditemui ialah kira-kira 700 meter. Jalan tersebut menjadi laluan utama bagi penduduk di Kompleks Kejiranan Presint 11. Lokasi mayat itu ditemui juga tidak jauh dari Hospital Putrajaya dan Masjid Putra.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.