Naim sedia jadi 'orang tengah'


NAIM menganggap jika kemelut KOAM-MSN berterusan, ia boleh menjejaskan pembangunan sukan olahraga negara.


KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Indonesia 2011, Datuk Naim Mohamad menyatakan kesediaan beliau untuk menjadi 'orang tengah' dalam menyelesaikan pertelagahan yang berlaku antara Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Sehubungan itu tegas beliau, satu penyelesaian segera perlu dicari bagi memastikan keadaan tersebut tidak akan merencatkan pembangunan sukan olahraga negara.

Menurutnya, kegagalan untuk menangani keadaan tersebut bukan sahaja akan menyebabkan terbantutnya pembangunan sukan olahraga, bahkan kegagalan sukan itu secara keseluruhannya.

"Nampaknya KOAM dan MSN masih tidak sehaluan. Sememangnya ada masalah yang timbul antara mereka. Tidak perlu kita sembunyikan masalah ini dan ia perlu diselesaikan dengan segera.

"Untuk itu, saya bersedia untuk menjadi pengantara dan untuk menyelesaikan kemelut ini. Tiada masalah daripada pihak saya."

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah dalam program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24 semalam.

Dalam perkembangan yang sama, Naim turut menegaskan, kedua-dua pihak yang bertelagah perlu diberi kata dua untuk menyelesaikan kemelut mereka.

Kegagalan untuk berbuat demikian, ujarnya, bermakna mereka boleh melupakan terus sukan olahraga selepas ini.

Jika KOAM tidak memerlukan MSN, jelas Naim, mereka boleh memaklumkan hasrat itu kepada MSN dan KOAM boleh melakukan semua urusan tersebut.

Jika KOAM memerlukan bantuan daripada MSN pula, mereka boleh duduk berbincang dengan Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil-wakil MSN dan persatuan lain dan memutuskan perkara penting untuk pembangunan sukan.

"Kemelut ini harus diselesaikan antara mereka. Tidak ada gunanya jika mereka tidak mahu membuka hati dan memahami keadaan. Tidak perlu untuk saya mempertemukan mereka tetapi mereka perlu faham apa yang perlu dibuat.

"Untuk melangkah ke hadapan, buangkanlah yang keruh dan ambillah yang jernih. Sentiasa berfikiran positif dan lakukan hijrah pemikiran," tambahnya. - Bernama