Pemilihan Fatehah tepat


KECEMERLANGAN Fatehah telah membuka ruang kepadanya untuk diserapakan dalam program Road to London 2012.


PENYENARAIAN pelumba basikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa dalam Program Road to London (RTL) 2012 merupakan satu keputusan tepat jika dinilai berdasarkan prestasinya pada Kejohanan Lumba Basikal Piala Dunia Klasik Siri 2 di Cali, Columbia Ahad lalu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata, beliau tidak terkejut dengan prestasi yang dipamerkan oleh pelumba yang berasal dari Kuala Berang, Terengganu itu.

"Kita sudah lama mengenal pasti dan menilai bakat yang dimiliki oleh Fatehah dan dia dilihat mampu pergi jauh termasuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 di London," katanya.

Jelasnya, ketua jurulatih basikal negara, John Beasley telah meletakkan sasaran awal bahawa Fatehah mampu melayakkan diri ke London tahun depan malah mampu untuk menyumbangkan pingat buat kontinjen Malaysia.

"Bukan suatu yang mustahil untuk menyatakan bahawa Fatehah juga berpeluang memenangi pingat di temasya berprestij itu kerana dia ada mempunyai lapan bulan lagi untuk melakukan persiapan sebelum Sukan Olimpik bermula.

"Dalam tempoh lapan bulan itu, saya harap dia dapat meningkatkan prestasinya.

"Saya juga berharap dia mampu untuk melakarkan lebih banyak kejayaan selepas ini termasuk dalam beberapa kejohanan besar tahun depan iaitu Siri 2 dan 3 Piala Dunia Klasik di Beijing dan London, Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Melbourne dan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC)," jelasnya.

Pada Ahad lalu, Fatehah tampil bergaya apabila berjaya menamatkan saingan di tempat keenam dalam acara keirin pada aksi final Piala Dunia Klasik di Cali.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Fatehah mengutip lima mata dalam misinya beraksi di bumi London kelak.

Malah, dia kini muncul satu-satunya pelumba wanita dari Asia yang berjaya mengumpul mata bagi melayakkannya beraksi pada temasya berprestij dunia itu berbanding pencabar terdekatnya dari Hong Kong, Jepun dan China.

Sementara itu, Zolkples juga gembira dengan peningkatan prestasi yang dipamerkan oleh jaguh trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang yang turut mara ke saingan akhir keirin lelaki di Cali apabila menduduki tempat kelima dan turut meraih lima mata untuk layak ke Sukan Olimpik London 2012.