Mencari ilham di Australia



PELUANG ‘berguru’ di Australia selama 12 hari bermula esok akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengendali skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee bagi meneliti kelebihan individu setiap pemain selain memberi penekanan terhadap keserasian dalam pasukan.

Selain mengharungi saingan Liga Singapura (Liga-S) musim depan, persiapan menentang tiga kelab elit itu juga disifatkan Kim Swee sebagai medan terbaik menguji pemain baharu dan yang jarang diturunkan sebelum ini sebagai persiapan mengharungi baki aksi kelayakan Sukan Olimpik 2012 peringkat kumpulan Zon Asia serta perancangan jangka panjang menjelang temasya Sukan SEA di Myanmar (2013) dan Sukan Asia di Korea Selatan pada 2014.

Menurut beliau, tempoh latihan selama lima hari di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak Isnin lepas masih belum cukup buatnya meneliti setiap aspek secara keseluruhan, justeru peluang menentang tiga buah kelab elit di Australia nanti sememangnya sangat dinanti-nantikan.

“Tempoh latihan selama lima hari sebelum ini memang tidak cukup, jadi saya akan meneruskan penilaian pemain sepanjang berada di Australia nanti terutamanya pemain-pemain baharu dan yang jarang diturunkan sebelum ini,” katanya kepada Kosmo!

Selain 30 pemain yang dipanggil sebelum ini, Kim Swee turut memanggil enam pemain baharu iaitu S. Sivanesan dari Felda United, Nazirul Naim Che Hashim dan Mohd. Ferris Danial Mat Nasir (Harimau Muda A), Nur Areff Kamaruddin dan Mohd. Farhan Abu Bakar (Harimau Muda B).

Kim Swee memberitahu, hanya 23 pemain sahaja daripada 36 pemain yang dipanggil menjalani latihan setakat ini bakal ‘terbang’ menyambung latihan di Australia kelak, dan senarai pemain itu katanya dijangka diumumkan hari ini.

“Malah, laporan mengatakan Wan Zack Haikal (Wan Nor) dan Khairul Fahmi (Che Mat) yang dikatakan akan tersisih ke Australia sebelum ini juga kurang tepat, kedua-dua pemain itu masih mendapat kepercayaan saya untuk menimba pengalaman di sana,” katanya.

Skuad emas Kim Swee yang berjaya mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA di Jakarta baru-baru ini dijangka bertolak ke Australia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang esok.

Ketika di bumi Australia nanti, skuad negara dijadual menentang kelab Sydney FC pada 13 Disember, Central South Mariner (15 Disember) sebelum menutup aksi menentang Newcastle Jets (19 Disember).

Bagi kelayakan Olimpik 2012 pula, anak-anak buah Kim Swee akan kembali menentang Syria, Bahrain dan Jepun pada awal tahun depan selepas mereka kecundang dalam tiga perlawanan sebelum ini.