T-Team ikat pemain import dari Bosnia


SIMIKOUNDA sudah sah menyertai T-Team musim depan.


PASUKAN T-Team mengikat seorang lagi pemain import bagi menghadapi persaingan Liga Malaysia tahun depan.

Pengurus pasukan, Rozi Mamat berkata, dia berharap Bojan Petrit, 24, berasal dari Bosnia-Herzegovina akan dapat membantu T-Team dalam mengharungi saingan liga pada musim depan.

Sebelum ini T-Team telah mengambil bekas pemain pasukan Perlis yang berasal dari Zambia, Zacharia Simikounda.

Pasukan terakhir Bojan sebelum datang ke Terengganu adalah FC Navy Bazar, Bosnia.

Rozi berkata, beliau yakin pasukan T-Team akan lebih menyerlah lagi pada tahun depan dengan adanya kedua-dua pemain import berkenaan.

Beliau berkata, buat masa ini pasukan T-Team mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan bagi memantapkan pemain import dengan pemain tempatan.

"Apabila selesai semuanya nanti, kita akan baiki mana-mana yang tidak betul sebelum menghadapi kejohanan sebenar," katanya.

Rozi berkata, mutu permainan pemain-pemain tempatan telah meningkat dari semasa ke semasa.

"Sasaran kita sekurang-kurangnya juara liga tahun depan," katanya.

Pencapaian terbaik T-Team dalam Liga Malaysia adalah melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia tahun lepas.