Luar Bali dalam Inggeris

DWI KHIRMA menerapkan idea dekorasi yang bersesuaian dengan empat anaknya yang sedang membesar.


AURA ketenangan pantas meresapi minda tatkala bertamu di kediaman Dwi Khirma Kamal Mohd. Kamal, 30. Landskap lamannya yang walaupun kecil mempunyai tarikan tersendiri khususnya tumbuhan berdaun lebar dan hijau yang bagaikan mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Di penjuru laman, kelibat ikan koi berenang perlahan dapat dilihat dengan jelas dari atas titi ala Bali yang merentangi kolam.

Bunyi air terjun di dalam kolam pula mencetuskan persekitaran semula jadi di rumah teres dua tingkat yang terletak di Subang, Selangor ini.

Di sisi kolam pula tersedia set meja bulat kayu untuk tetamu berehat.

Jika tema alam semula jadi dan konsep Bali mendominasi landskap taman, ruang tamu kediaman ini menggunakan ilham Inggeris yang diselang-seli cita rasa Bali.

Dinding ruang tamu dicat putih, begitu juga set sofa berwarna putih tetapi menggunakan fabrik hijau bercorak sebagai sarung kusyen.


GABUNGAN elemen Inggeris pada sofa dan meja ala Bali melengkapkan konsep dekorasi impian si pemilik.


Dubai

Minat pemilik terhadap perabot jati diserlahkan menerusi kabinet televisyen dan meja ruang tamu.

“Sebaik sahaja membeli rumah ini, suami telah menyerahkan tugas menentukan dekorasi kediaman ini kepada saya.

“Pada mulanya kami menggunakan konsep hiasan Asia Barat sebelum beralih kepada Inggeris dan Bali,” kata Dwi Khirma.

Sebuah almari kayu berkaca turut ditempatkan di ruang tamu. Di dalamnya, koleksi barangan cenderamata eksklusif dari Dubai pasti mencuri tumpuan kerana rekaannya yang unik.


RUANG rehat di tepi air terjun sesuai sebagai tempat untuk bersantai pada waktu petang dan malam.


Sambil membelek koleksinya, Dwi Khirma berkata, kebanyakan barang hiasan di rumahnya sangat ringkas, praktikal dan tidak mengganggu ruang lebih-lebih lagi di bahagian dapur.

Warna putih kelabu menjadi tema di situ manakala perkakasan memasak tersusun kemas di atas kabinet.

Sedikit elemen Inggeris diterapkan di sini menerusi sebuah meja bulat dengan tiga buah kerusi berwarna putih.

“Memasak memberi kepuasan kepada saya tetapi itu tidak bermakna saya memerlukan ruang yang luas dan sarat dengan perkakasan memasak.

“Apa yang penting, ruang penyimpanan mesti praktikal dan tidak berbahaya kepada empat orang anak saya yang berusia di antara satu hingga sembilan tahun.

“Saya juga tidak menggemari barangan hiasan kecil yang mudah rosak apabila dilanggar oleh anak-anak yang asyik bermain,” katanya.

Bilik khas

Wanita ini ternyata begitu meminati perabot kayu apabila beliau meletakkan meja makan enam kerusi jenis itu di ruang makan.

Koleksi pinggan vintaj dan kerusi yang ditutupi fabrik sepenuhnya memberi kelainan semasa menikmati hidangan.


LAMPU candelier dan kubah siling kapur menambah keceriaan ruang tamu.


Setelah puas meneroka tingkat bawah, kru Jurnal meninjau pula tingkat atas kediaman ini yang menempatkan tiga bilik tidur.

Salah sebuah bilik tidur bercat putih begitu menarik perhatian. Bilik itu dilengkapi katil bertiang empat dengan hiasan langsir putih di birai katil.

Menurut Dwi Khirma, ia merupakan tempat tidur anak bongsunya.

Dwi Khirma turut menyediakan sebuah bilik khas untuk barang permainan anak-anaknya.

Di bilik itu terdapat set televisyen bersaiz besar sebagai kemudahan permainan video Playstation 2.

Patung mainan Sesame Street dan pelbagai mainan lain semuanya diletakkan di dalam bilik berkenaan. Kadangkala Dwi Khirma sendiri akan menemani anaknya bermain di situ.