Selamatkan orang utan untuk masa depan


PULAU Orang Utan memberi pendedahan mengenai kehidupan primat berkenaan kepada orang ramai.


SEAWAL pukul 7 pagi, riak wajah ceria terpancar pada peserta-peserta program jalan kaki amal Walk With Us - Save The Orang Utans yang berkumpul di hadapan Menara Mustapha Kamal, Damansara Perdana, Selangor.

Sedondon memadankan baju-t berwarna putih dengan lambang Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YOU), mereka kelihatan cukup bersemangat untuk menyumbang sedikit keringat membantu survival orang utan di negara ini.

Program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan MK Land Holdings serta Kumpulan Emkay bertujuan mengutip dana YOU berjaya mengumpulkan kira-kira 500 peserta dalam bersama-sama memulihara primat yang pernah menjadi maskot Sukan Komanwel 1998 itu.

Peserta-peserta telah berjalan sejauh 3.9 kilometer (km) sekitar Damansara Perdana dengan membawa pelbagai sepanduk mengenai kepentingan menyelamatkan orang utan.

Ia turut disertai Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar yang juga pencetus idea program berkenaan.

Ahli Lembaga Pengarah YOU, Prof. Emeritus Datuk Abdul Latiff Mohamad berkata, program berkenaan merupakan salah satu medium dalam memberi pendedahan kepada masyarakat umum mengenai kepentingan memulihara orang utan.

“Satu ketika dahulu, jumlah orang utan di hutan negara ini tidak membimbangkan tetapi, pelbagai perubahan bumi termasuk dari segi landskap, masalah kesihatan, haiwan pemangsa dan lain-lain menyumbang kepada pengurangan populasi primat ini.

“Justeru, kita berharap dengan usaha memulihara orang utan di Pulau Orang Utan ia dapat meningkatkan populasi dan memanjangkan lagi jangka hayatnya untuk generasi masa hadapan,” katanya pada pemberita selepas program jalan kaki amal Walk With Us - Save The Orang Utans.


KIRA-KIRA 500 peserta menyertai program jalan kaki amal Walk With Us - Save The Orang Utans.


Dalam pada itu, beliau menambah, program berkenaan turut diadakan bagi mengutip dana YOU bertujuan untuk membiayai kos pembiakan, pemulihan, pendidikan dan penyelidikan orang utan.

Setakat ini, Abdul Latiff yang merupakan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu, terdapat 27 ekor orang utan di Pulau Orang Utan untuk memulihara primat berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pulau Orang Utan Bukit Merah Laketown Resort, Dr. D. Sabapathy berkata, daripada 27 ekor orang utan tersebut sebanyak 17 daripadanya lahir di pulau berkenaan.

“Kesemua 17 orang utan yang lahir di pulau berkenaan terdiri daripada lapan betina dan sembilan ekor jantan,” ujarnya.

Berbakti

Sementara itu, seorang peserta, Yeoh Hong Leng, 24, berkata, dia sangat seronok apabila menyertai program jalan amal berkenaan kerana dapat membantu menyumbang kepada pembangunan dan survival orang utan.

“Orang utan merupakan antara primat ikon yang dikenali bukan sahaja di dalam negara ini tetapi, sehingga seluruh dunia.

“Justeru itu, ia adalah sesuatu yang baik apabila dapat bersama-sama berbakti dalam memastikan orang utan dapat terus hidup untuk generasi akan datang,” katanya yang kerap menyertai aktiviti amal.

Norazlin Ibrahim, 29, yang cukup ceria apabila menyertai program berkenaan memberitahu, ia merupakan usaha murni bagi mengumpul dana agar orang utan dapat melalui kehidupan lebih sempurna.


ANAK orang utan dijaga dengan rapi di Pulau Orang Utan untuk memastikan survival primat itu.


“Dengan adanya aktiviti sebegini, kita dapat mengenali kehidupan orang utan dengan lebih rapat apabila terdapat pameran-pameran disediakan untuk menambah pengetahuan.

“Selain dapat beramal menyumbang kepada orang utan, kita juga dapat menyihatkan tubuh badan apabila berjalan sejauh 3.9 kilometer,” katanya penuh semangat.

Salah seorang peserta muda yang berjaya menghabiskan jalan amal berkenaan, Mohamad Yasir Mohamed Nasir, 7, menambah, dia sangat seronok dapat bersenam pada waktu pagi.

“Bukan selalu dapat bersenam sambil menyebarkan kesedaran menyelamatkan orang utan,” katanya.