RTW 2011 masih relevan


SAMBUTAN hangat. Lautan remaja yang membanjiri festival muzik mega, Rock The World 2011.


RUGI bagi peminat rock tegar yang menghabiskan sisa cuti hujung minggu dua minggu lepas tanpa bersesak-sesak mahupun berpusu-pusu membanjiri Stadium Merdeka, Kuala Lumpur untuk festival yang dinamakan Rock The World (RTW).

Sudah kali ke-11 RTW mengambil tempat, pelbagai jenama band rock indie sudah bersilih ganti, berkongsi dan beradu tenaga, rasa dan gegaran sematang usianya.

Bak kata Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo, 10 tahun lalu banyak band rock sudah ‘memakai’ RTW sebagai platform untuk bertemu peminat mahu melakar nama.

“Sebagai contoh, kumpulan Estrange antaranya pernah mengisi slot RTW 4 sebelum mereka dikenali ramai.

“Selain itu, Pop Shuvit juga sebelum ini sudah dua kali terlibat mengadakan persembahan di pentas RTW 2 dan 3,” katanya ketika ditemui di festival itu baru-baru ini.

Menerusi RTW 11 yang dibawakan oleh Tune Talk Mobile Prepaid, sebanyak 30 buah band rock dibiar beraksi termasuk Massacre Conspiracy, The Azanders, Kyoto Protocol, Monoloque feat Atilia, Bittersweet, Pesawat, Reza Salleh, The Padangs, Statik, Salam Musik, Melodisaster, Ballad for Layla dan Daarchlea.

Audiens

Bermula seawal pukul 10 pagi hingga lewat malam, kebanjiran pengunjung juga sedikit pasif sehingga lewat petang.

“Kalau diikutkan tahun lepas lebih teruk kalau dilihat daripada sudut kehadiran audiens, RTW pada kali itu kebetulan berlangsung pada malam perlawanan bola sepak Piala Suzuki,” ujarnya yang menganggar pengunjung tahun ini sekitar 10,000 orang.

RTW sedikit cerewet dari segi pemilihan band untuk beraksi sama ada di pentas utama (di dalam stadium) mahupun pentas open mic (pekarangan stadium).

Kata Jason, daripada 100 buah band yang mendaftar untuk menyertai RTW, hanya 30 buah band dipilih.

“Pemilihan dilihat dari segi populariti band itu di stesen-stesen radio, ada fan page sendiri, baru mengeluarkan album atau single serta band yang boleh membikin ‘bunyi’ sendiri,” ceritanya yang sudah lima kali beraksi di pentas RTW sendiri.

Antara band yang membuat persembahan di pentas ‘mini terbuka’ (open mic), Apple Project, Dazmelon, Heart-A-Tack, Medusa, Gabba Gabba, Mona Lyssa dan Sekumpulan Orang Gila.


PERTAMA kali muncul di pentas Rock The World pada tahun 2009, kemunculan Pesawat kali ini lebih memberangsangkan.


Sukar katanya untuk membawakan RTW merentas Laut China Selatan ke kepulauan Borneo berikutan faktor kos.

Begitu juga permintaan daripada peminat untuk membawakan artis antarabangsa beraksi di pentas RTW.

“Jika difikirkan memang pihak kami ingin membawakan RTW ke Borneo begitu juga menjemput artis dari luar negara untuk membuat persembahan.

“Tapi festival ini khusus untuk orang tempatan, tidak hairan RTW digelar festival rock indie terbesar Malaysia,” tutur Jason bersemangat.

Kejayaan

Bagi band yang pertama kali dibenar beraksi di pentas RTW umpamanya Statik, ia merupakan penghargaan terbesar bagi mereka.

“Ini pertama kali membuat persembahan di RTW dan ini kejayaan terbesar bagi kami, harap selepas ini akan diberi peluang lebih luas,” ujar vokalis kumpulan itu, Haziq Mohd.

Statik yang sudah mengeluarkan album pertama mereka berjudul Statik memperjuangkan pop agresif dan menjadikan band-band antarabangsa seperti The Who, Beatles dan Crazy Chief sebagai rujukan.

Sementara bagi band Pesawat yang baru mengeluarkan single terbaharu, Bandaraya Ibukota, peluang beraksi di pentas RTW bagaikan menyelam sambil minum air.

“RTW merupakan festival tahunan yang paling besar buat pejuang muzik indie, selain dapat mendekatkan diri dengan peminat, kami dapat mempromosikan single terkini Pesawat,” kata vokalisnya, Jipie atau Hudzaifi Hazmi.