63 maut di Baghdad

LOKASI salah satu letupan bom yang berlaku di kawasan Karrada, Baghdad semalam.


BAGHDAD, Iraq - Gelombang serangan bom menggegarkan seluruh bandar raya ini semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 63 orang terbunuh manakala hampir 200 lagi cedera.

Ia merupakan keganasan terburuk pernah melanda Iraq sejak beberapa bulan lalu.

Beberapa pegawai Iraq berkata, sekurang-kurangnya 14 letupan berlaku di 11 kawasan penempatan penduduk di seluruh ibu kota Iraq, di sini pagi semalam.

Gelombang serangan itu merangkumi bom yang dilekatkan pada beberapa buah kenderaan, bom tepi jalan dan letupan kenderaan yang sarat dengan bahan letupan.

Sekurang-kurangnya satu serangan itu turut dilakukan oleh pengebom berani mati.

Keganasan terbaharu itu berlaku beberapa hari selepas tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan bumi Iraq.

Ia turut berlaku selepas krisis politik dalaman tercetus antara puak Syiah dan Sunah.

Pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Nuri Al-Maliki menuduh Naib Presiden Iraq, Tariq Al-Hashemi mendalangi skuad pembunuh yang menjadikan pegawai pentadbiran sebagai sasaran.

Tariq daripada puak Sunah dikatakan bersembunyi di wilayah Kurdis ekoran dakwaan tersebut.

Beliau menafikan mendalangi skuad pembunuhan itu.

Perdana Menteri Iraq dari puak Syiah itu juga telah meminta Parlimen supaya memecat timbalannya, Saleh Al-Mutlaq daripada puak Sunah selepas beliau dikaitkan dengan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein.

Menurut perdana menteri Iraq itu, serangan yang berlaku tersebut merupakan satu mesej politik ekoran krisis pentadbiran yang berlaku di negara ini. - Agensi