Mahkamah tinggi tolak rayuan bekas adun DAP

23/12/2011 6:28pm

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi hari ini menolak rayuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dalam kes pertuduhan pecah amanahnya.

Hakim Datuk Zulkifli Bakar memutuskan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun terhadap M. Kuppusamy, 61, kekal selepas mendengar rayuannya.

Dalam penghakimannya Zulkifli berkata, mahkamah mendapati tiada sebarang keraguan berhubung fakta dalam perbicaraan kes itu dan keputusan yang telah dibuat di Mahkamah Sesyen.

"Selain itu mahkamah ini sangat memandang berat kesalahan yang dilakukan oleh perayu kerana perayu sepatutnya perlu amanah di atas kepercayaan yang diberikan kepadanya,” katanya.

Kuppusamy yang juga seorang peguam disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Januari lalu di hadapan Hakim Zamri Bakar atas tuduhan pecah amanah wang sebanyak RM66,647.44, enam tahun lalu. - BERNAMA